Ahmad Faizal Azumu

KUALA LUMPUR – Tindakan Rafizi Ramli memberi amaran kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bahawa Pakatan Harapan (PH) “mencarinya” berhubung isul pegangan sahamnya dalam Invoke adalah isyarat ugutan.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, adalah jelas ugutan dan ancaman ini dibuat kerana SPRM menjalankan siasatan ke atas Invoke, syarikat milik Rafizi selepas menerima aduan awam.

“Yang pertama, adalah jelas Rafizi serta pimpinan PH menganggap mereka adalah terkecuali daripada undang-undang dan tindakan penguatkuasaan. Selari dengan ini, setelah membentuk kerajaan pada tahun 2018, PH bertindak untuk mengugurkan kes rasuah terhadap pemimpin utama PH iaitu Lim Guan Eng, walaupun ini dibantah oleh SPRM.

“Yang kedua, ugutan oleh Rafizi adalah suatu pengakuan terbuka oleh beliau bahawa PH yang didominasi oleh DAP mempunyai rancangan menyalahguna kuasa kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap penjawat awam yang hanya menjalankan tugas. Penyalahgunaan kuasa adalah kesalahan jenayah serius di bawah Kanun Keseksaan dan Akta SPRM,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Faizal yang juga calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Tambun  merujuk kepada kenyataan Rafizi dalam Ceramah Mega PH di Johor Bahru semalam.

Katanya, PH akan mencari Azam sekira pakatan itu kembali memerintah Putrajaya.

”Esok (hari ini) kita jumpa di mahkamah, lusa (Jumaat) satu hari lagi kempen, Sabtu kita mengundi.

“Lepas menang pilihan raya kami cari Azam Baki, insya-Allah,” kata Rafizi.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal mendesak agar Majlis Presiden PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pendirian mereka dengan segera atas penghinaan dan ugutan terhadap penjawat awam ini.

“Adakah PH dan Anwar sedia menarik balik ugutan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM dan meminta maaf kepada kesemua penjawat awam negara?

“Pihak berkuasa juga perlu menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya atas ugutan Rafizi dan pengakuan tersebut,” kata Ahmad Faizal lagi. – MalaysiaGazette