Calon Barisan Nasional (BN) P.071 Gopeng, Cally Ting Zhao Song bercakap kepada media sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika di Ipoh, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 17 NOVEMBER 2022.

GOPENG – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Gopeng,Cally Ting Zhao Song kecewa dan kesal kerana wakil rakyat terdahulu tidak komited dalam menjaga kebajikan rakyat di sini terutamanya aspek kesihatan.

Seandainya diberikan peluang menang mandat rakyat Gopeng, antara ikrar Cally adalah menambah baik Klinik Kesihatan (KK) Gopeng yang bukan sahaja dalam keadaan sesak malah kemudahan seperti ambulans bagi kegunaan lebih 30,000 penduduk juga uzur.

“Saya diberitahu kita memerlukan sekurang-kurangnya RM300,000 untuk ambulans baharu, saya rasa jumlah itu agak wajar apatah lagi ianya untuk menjaga lebih 30,000 pengundi di sini.

“Saya tidak faham mengapa wakil rakyat sebelum ini tidak bersuara langsung pasal isu  ini? Asyik beri alasan 22 bulan tidak cukup untuk buat apapun. 

“Ambulans ini saya difahamkan selalu sangat rosak, bukankah perkhidmatan seperti ini perlu diutamakan apatah lagi ianya membabitkan kepentingan dan keselamatan pengundi anda sendiri?

“Ramai gantung harap dengan perkhidmatan KK (klinik kesihatan) ini, kita telah terima banyak kes sejak beberapa tahun ini menunggu ambulans sampai meninggal.

“Pada 2019, Ahli Parlimen Gopeng menjadi Timbalan Menteri Kesihatan ketika itu, adakah tidak boleh melaksanakan permintaan pengundi? Adakah masih beri alasan tidak cukup masa? Jika hendak 22 bulan itu juga boleh buat perkara ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Untuk makluman, penyandang kerusi Gopeng ialah Dr. Lee boon Chye dari parti PKR.

Cally berkata, pembangkang suka bercakap kononnya hanya mereka sahaja yang mampu membela nasib rakyat tetapi apabila diberi kuasa, tidak ada apa-apa perubahan.

“Ini baru satu contoh, ada banyak lagi sebenarnya. Tetapi saya tidak mahu fokus kepada perkara itu. Benar hampir setiap hari ‘Red Bean Army’ akan membuat serangan kepada saya di sosial media tetapi adakah itu membantu rakyat?

“Kamu semua apabila ada kuasa, tidak ada apapun yang dilakukan. Kini kamu datang lagi dengan hanya melakukan serangan fitnah. Saya tidak masa seperti anda, BN juga tidak ada masa kerana kami sibuk menjaga rakyat.

“Walaupun kami tidak menang di tempat ini namun MCA dan BN berterusan melaksanakan tanggungjawab berjuang untuk masyarakat dan rakyat secara keseluruhan. Kami di Gopeng berkhidmat bertahun-tahun lamanya terutamanya empat tahun kebelakangan ini walaupun kami tidak menang,” tegasnya.

Cally, 32, merupakan Naib Ketua MCA Bahagian Gopeng berdepan saingan daripada tiga calon lawan iaitu Tan Kar Hing (PH), Muhamad Farhan Abdul Rahim (PN) dan G. Balachandran (Warisan) di Parlimen Gopeng.

Selain Cally di Parlimen Gopeng, BN meletakan tiga calon bertanding di kerusi  DUN iaitu Datuk Hang Tuah Din (Sungai Rapat),  Lee Wai Yin (Simpang Pulai) dan Liew Yee Lin (Teja). – MalaysiaGazette