KUALA LUMPUR – Eksport Malaysia mengekalkan pertumbuhan dua angka pada Oktober 2022, mencatatkan peningkatan 15.0 peratus daripada RM114.5 bilion pada Oktober 2021 kepada RM131.6 bilion, bulan ke-15 berturut-turut pertumbuhan dua angka sejak Ogos 2021.

Begitu juga, import meningkat 29.2 peratus daripada RM87.9 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM113.5 bilion, menjadikan jumlah dagangan Malaysia meningkat 21.1 peratus kepada RM245.2 bilion.

Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2022, eksport, import dan jumlah dagangan mencatatkan pertumbuhan kukuh dua angka.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata eksport Malaysia mengekalkan pertumbuhan positif 15.0 peratus pada Oktober 2022, selari dengan peningkatan eksport domestik dan eksport semula.

Eksport domestik berjumlah RM101.2 bilion (76.9% daripada jumlah eksport), meningkat 10.8 peratus, tahun ke tahun.

Sementara itu, eksport semula mencatatkan RM30.4 bilion (23.1% daripada jumlah eksport), meningkat 31.6 peratus seiring dengan prestasi eksport, import pada Oktober 2022 juga mengekalkan momentum dengan pertumbuhan 29.2 peratus kepada RM113.5 bilion, terus mengatasi pertumbuhan eksport untuk bulan kesepuluh berturut-turut sejak Januari 2022.

Mengambil kira pertumbuhan import yang lebih tinggi berbanding eksport, lebihan dagangan direkodkan lebih rendah pada RM18.1 bilion, menyusut 32.0 peratus, lebihan dagangan bulan ke-30 berturut-turut sejak Mei 2020.

Di samping itu, berbanding September 2022, prestasi eksport, jumlah dagangan dan lebihan perdagangan menunjukkan penurunan masing-masing
-8.7 peratus, -4.5 peratus, -43.2 peratus. Sementara itu, import meningkat pada kadar 1.0 peratus.

Selaras dengan pertumbuhan tahunan, 143 daripada 255 kumpulan barangan untuk eksport menunjukkan peningkatan berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya, dipacu oleh keluaran petroleum bertapis.

Bagi import, 174 daripada 257 kumpulan barangan mencatatkan pertumbuhan positif.

Mohd Uzir menambah, peningkatan eksport disumbangkan terutamanya oleh eksport yang lebih tinggi ke Singapura (+RM4.1 bilion), Korea (+RM1.9 bilion), Jepun (+RM1.8 bilion), Australia (+RM1.4 bilion), Hong Kong (+RM1.1 bilion), Indonesia (+RM1.1 bilion), Amerika Syarikat (+RM1.1 bilion) dan Thailand (+RM1.0 bilion).

Sementara itu, import dipacu oleh peningkatan import yang lebih tinggi dari Arab Saudi (+RM5.0 bilion), China (+RM4.0 bilion), Taiwan (+RM3.3 bilion), Amerika Syarikat (+RM2.9 bilion), Australia (+RM1.6 bilion), Jepun (+RM1.1 bilion) dan Singapura (+RM963.4 juta). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast