TEHRAN – Empat orang telah dijatuhkan hukuman mati atas tuduhan “memusuhi Tuhan” kerana terlibat dalam protes anti-kerajaan di Iran baru-baru ini.
Mahkamah Revolusi di Tehran berkata, salah seorang daripada “perusuh” yang tidak dinamakan telah memukul dan membunuh seorang anggota polis dengan keretanya, menurut laporan agensi berita kehakiman Mizan.
Yang kedua memiliki pisau dan pistol, dan yang ketiga menghalang lalu lintas dan menyebabkan “keganasan”, dakwanya.
Yang keempat disabitkan dengan serangan pisau, lapor Mizan lewat pada Selasa.
Dipercayai lebih ramai akan menjalani hukuman itu.
Aktivis hak asasi manusia mengecam hukuman mati yang menjadikan jumlah keseluruhan lima sejak Ahad dengan mengatakan ia adalah perbicaraan yang tidak adil.
Hari Rabu, menandakan dua bulan protes besar-besaran diadakan sejak kematian Mahsa Amini, seorang wanita berusia 22 tahun yang meninggal dunia dalam tahanan polis selepas ditangkap kerana didakwa melanggar peraturan berpakaian Islam yang ketat di Iran.
Amnesty International mendakwa, sekurang-kurangnya 21 tahanan yang didakwa atas kesalahan berkaitan keselamatan yang boleh dihukum mati di bawah sistem perundangan berasaskan Syariah Iran, termasuk “permusuhan terhadap Tuhan” dan “rasuah di Bumi”.
Sekurang-kurangnya 348 penunjuk perasaan telah terbunuh dan 15,900 yang lain ditangkap dalam tindakan keras oleh pasukan keselamatan terhadap apa yang digambarkan oleh pemimpin Iran sebagai “rusuhan” yang disokong asing, menurut Agensi Berita Aktivis Hak Asasi Manusia (HRANA), yang juga berpangkalan di luar negara. – Agensi