SIMPANG RENGGAM – Kemenangan Barisan Nasional (BN) di Simpang Renggam akan diterjemahkan kepada kemajuan insfrastuktur, pendidikan dan kebajikan.
Calonnya Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, antara perkara utama yang akan diberi perhatian adalah pendidikan, pembangunan perniagaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta membuka peluang pekerjaan di daerah itu.
“Pejabat pendidikan Johor telah mengenalpasti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Renggam untuk dijadikan sekolah contoh bagi negeri Johor. Itu contoh yang akan berlaku di kawasan Simpang Renggam ini.
“Malah saya juga memahami tentang keperluan anak-anak yang memasuki institusi pengajian tinggi supaya mereka juga turut menerima bantuan tertentu.
“Selain itu saya berjanji jika saya menang saya akan tawarkan hal-hal berkaitan perumahan yang mana saya tahu isu ini amat penting kepada kita semua.
“Maka itu tuan-tuan undilah BN demi kestabilan dan kemakmuran bukan hanya kepada Simpang Renggam dan negeri Johor tetapi demi negara kita.
“Undilah BN untuk kemakmuran dan kesejahteraan semua,”katanya pada sidang media selepas ramah mesra di pejabat MIC di Simpang Renggam malam tadi.
Menurut Hasni, kejayaan BN di Simpang Renggam akan menjadi penanda aras kemenangan di semua 26 kerusi Parlimen yang ditandingi Barisan Nasional di Johor pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).
Hasni yang juga Pengarah Pilihan Raya Johor menaruh harapan besar memberi kemenangan besar kepada BN selepas menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Mac lalu.
“Jika mandat tersebut diberikan oleh pengundi-pengundi Johor, ia sekali gus akan melengkapkan kemenangan BN Johor di peringkat Parlimen.
“Kemenangan kita di peringkat Parlimen akan menjadi pelengkap kepada hasrat BN untuk menerajui negeri secara keseluruhannya dan ia perlu bermula di Parlimen Simpang Renggam.
“Ini kerana kawasan ini (Simpang Renggam) akan menjadi rujukan dan pemangkin semangat bagi BN untuk meneruskan agenda pembangunan di negeri ini,” kata Hasni.
Dalam pada itu bekas Menteri Besar Johor itu juga berpuas hati dengan momentum prestasi BN sebelum tamatnya tempoh berkempen esok.
“Momentum yang ketara ialah penjelasan dan penerimaan pengundi adalah kerajaan BN.
“Kerajaan yang ada hari ini apabila ia diterejaui oleh pemimpin bewibawa dan pelbagai idea yang dibawa.
“Ini ditambah lagi dengan pemimpin muda dan Johor diterajui oleh Menteri Besar berwibawa, muda dan bertenaga,”katanya.-MalaysiaGazette