Calon Pakatan Harapan (PH) P.063 Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Grand Finale Jelajah Mega Pakatan Harapan di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) AU2, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 16 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata gabungan itu mahu melihat penyandang kerusi Parlimen Gombak, Datuk Seri Azmin Ali tersungkur pada Sabtu ini.

Jelasnya, pihaknya tidak akan melakukan apa yang dibuat kepada pengkhianat bangsa seperti Si Kitul, namun ingin melihat pengundi di Gombak menghukum Azmin kerana khianat kepada PH.

“Elok-elok pengundi angkat kamu, pilih PH kamu khianat jatuhkan mandat rakyat yang pilih PH.

“Kita takkan sula macam Si Kitul dan bakar rumah hangus, tapi kita nak campak Azmin dari Gombak biar dia kalah teruk PRU15, biar jadi pengajaran kepada anak bangsa Melayu di masa akan datang,” katanya pada ucapan dalam Program Grand Finale Jelajah Mega PH di pekarangan Dewan Serbaguna AU2 di Keramat, malam tadi.

Hadir sama Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu, Presiden Parti Ikatan Demokratik (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dan calon PH Parlimen Gombak, Datuk Seri Amiruddin Saari.

Justeru itu, PH bertindak mencalonkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Saari sebagai pencabar Azmin.

Ia bagi menjalankan misi untuk merampas kembali kerusi Gombak yang dibawa Azmin selepas Langkah Sheraton.

“Jangan layan dan terima orang yang khianat amanah, sebab itu saya hantar Panglima Amir (Amiruddin Saari) untuk lawan Azmin.

“Azmin kata hantar anak buah aku lawan aku, yang kamu lawan aku tu apa? dia tak fikir,” kata Anwar.

Dalam pada itu, Anwar mengakui ada kelemahan PH ketika pihaknya mentadbir negara sehingga digulingkan pada 2020.

Jelas Anwar lagi, kegagalan berkenaan turut disumbangkan oleh beberapa anggota Kabinet ketika itu yang kini bertanding di atas tiket PN bagi mempertahankan kerusi Parlimen masing-masing pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Siapa dia menteri ekonomi ketika itu? Nak pangkah (undi) dia buat apa? Yang teruk Felda bawah dia sampai tak terkawal. Rencana (rancangan) ekonomi tiada, ini jadi masalah dia.

“Menteri Dalam Negeri siapa? Menteri Luar siapa? Yang buat ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum). Bawa perhimpunan beramai-ramai. Datuk Saifuddin Abdullah yang bentang (ICERD) di Parlimen, tetapi kita (PH) kena marah.

“Saya bangun ketika itu (di Parlimen), hendak bantah (pembentangan) pun tak boleh kerana Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan (usul) itu dibentang oleh menteri. Tetapi kini, di (Parlimen) Indera Mahkota, Pas sokong Saifuddin yang membawa ICERD,” katanya lagi.

Dalam acara sama, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menyeru kepada pengundi Gombak untuk menamatkan karier Azmin yang antara watak utama dalam misi menjatuhkan kerajaan PH.

“Di sini (Gombak) kami akan tamatkan karier politik bapa kepada semua pengkhianat.

“Kamu mesti menamatkan karier pengkhianat besar ini,” katanya dalam ceramah sama yang dihadiri kira-kira 3,000 penyokong PH. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast