Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Kenduri Rakyat Jelajah Mega Pakatan Harapan sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Desa Pandan, Ampang, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 17 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai seorang perdana menteri yang cepat mengambil tindakan apabila diajukan sebarang masalah.

Namun Presiden PKR itu mendakwa, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO sering menuruti apa yang diminta oleh pemimpin partinya atau pun pemimpin parti yang lain.

“Saya pun tidak tahu dasar Ismail Sabri, tidak berapa faham. Saya jumpa berapa kali dengan dia dan bila bercakap dengan dia setuju semua termasuk Ketua Pembangkang.

“Dia dari situ bagus. bila saya teks kepada dia kata penting dan ada hal, dia terus dan saya cakap dia setuju. Najib (Razak) dia setuju, Zahid (Hamidi) cakap pun dia setuju. Lepas itu Muhyiddin (Yassin) ada minta apa, dia setuju juga.

Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Calon Pakatan Harapan (PH) P.119 Titiwangsa, Khalid Abdul Samad pada Majlis Kenduri Rakyat Jelajah Mega Pakatan Harapan sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Desa Pandan, Ampang, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 17 NOVEMBER 2022.

“Jadi setuju dengan semua, itu yang jadi masalah. Jadi porak peranda dalam negara. Pelaburan tak nampak, harga barang naik, kehidupan lebih susah dan tiada perancangan, perumahan rakyat dan kemiskinan,” katanya.

Beliau yang merupakan calon Pakatan HP Tambun berkata demikian ketika berucap pada Kenduri Rakyat PH di Desa Pandan di sini hari ini.

Selain itu, Anwar mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal menjalankan tugas sebagai perdana menteri dan tiada pencapaian membanggakan sepanjang beliau mentadbir negara.

Kata beliau, Muhyiddin hanya akan dikenang sebagai perdana menteri yang paling lama melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di dunia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast