WhatsApp
Mohamad Hasan bergambar bersama jentera BN pada program Sepetang Bersama Tok Mat di Felda Raja Alias 2, Jempol, hari ini.

JEMPOL – Pesanan WhatsApp yang kononnya dihantar Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengutuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan didakwa bertujuan melaga-lagakan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN).

Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, pesanan yang tular itu dipercayai didalangi pihak tertentu yang mahu menyerang pemimpin-pemimpin parti.

“Macam-macam dia buat untuk jatuhkan kami, itu tak jadi kudis,” katanya kepada pemberita selepas program Sepetang Bersama Tok Mat di Felda Raja Alias 2 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, calon BN bagi kerusi Parlimen Jempol, Datuk Shamsulkahar Mohd. Deli dan bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd. Salim Mohd. Shariff.

Terdahulu, Khairy yang juga calon BN bagi Parlimen Sungai Buloh menafikan bahawa beliau menghantar pesanan WhatsApp berunsur kutukan terhadap Mohamad dan Ismail Sabri.

Khairy berkata, mesej itu adalah fitnah semata-mata malah satu laporan akan dibuat beliau kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad memberitahu, parti-parti lawan tidak mempunyai isu besar yang boleh digunakan untuk menyerang BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Jika dibandingkan dengan PRU-14 dahulu memang sengit dan kita tak tahan dibuatnya, tapi sekarang ni tenang tak ada provokasi.

“Di kedai kopi pun tak ada bertengkar, kita tenang, jadi alhamdulillah. Kita harap ini diteruskan sampai hari mengundi,” jelasnya yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Rembau. – MalaysiaGazette