Gambar hiasan

NEW ZEALAND – Bilangan orang yang merokok di New Zealand telah jatuh ke paras terendah dalam sejarah, namun penggunaan rokok elektronik atau  vape semakin meningkat.

Data yang dikeluarkan hari ini  menunjukkan jumlah individu yang merokok setiap hari susut  kepada 8%, merupakan kadar terendah sejak rekod bermula, dan turun 9.4% berbanding tahun lepas.

Menteri Kesihatan, Dr Ayesha Verrall berkata,  rancangan kerajaan untuk mengurangkan kadar merokok telah berjaya.

“Bilangan orang yang merokok menurun sebanyak 56,000 sepanjang tahun lalu, walaupun mengalami  tekanan pandemik, namun kadar merokok kini separuh daripada apa yang mereka lakukan 10 tahun lalu.

“Ini sesuatu yang sangat menggembirakan memandangkan negara-negara lain menyaksikan peningkatan semasa perintah berkurung,” katanya.

Penurunan kadar keseluruhan merokok di New Zealand kepada 8% meletakkannya di  terendah dunia.

Purata OECD terkini ialah 16.5%, Australia (10.7%) dan United Kingdom (13.8%).

Walau bagaimanapun, kemungkinan besar sebahagian warga New Zealand yang berhenti merokok mungkin beralih kepada vape.

Menurut data terkini, peningkatan pengguna vape harian adalah lebih tinggi daripada penurunan perokok harian iaitu 8.3% orang dewasa kini menghisap vape setiap hari, meningkat  6.2% berbanding  tahun lalu.

Kerajaan New Zealand kini dalam usaha melaksanakan undang-undang  untuk mengurangkan nikotin dalam rokok, dan hanya boleh dijual di kedai tembakau khusus.

Undang-undang tersebut yang dijangka dilaksanakan tahun hadapan merupakan usaha kerajaan menjadikan New Zealand bebas asap rokok menjelang 2025.

“Kadar merokok menjunam dan matlamat kami untuk bebas asap rokok menjelang 2025 semakin dicapai,” ujar Verrall. – Agensi