KUALA SELANGOR – Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) tidak pernah mengeluarkan surat niat (LOI) mahupun surat penerimaan (LOA) kepada mana-mana syarikat melibatkan kontrak bernilai berbilion ringgit.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ketika ini MoF hanya memberikan kelulusan kepada sebuah syarikat untuk menjalankan rundingan dengan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).
“Kontrak pun belum dianugerahkan lagi malah LOI pun belum ada, yang ada cuma kelulusan untuk memulakan rundingan.
“Bila dapat kelulusan rundingan itu, KASA masih perlu berunding dengan syarikat berkenaan dan lepas itu kemukakan syor kepada MoF untuk proses selanjutnya.
“Surat bertarikh 27 Oktober itu bukan surat kelulusan. Ia adalah surat memberi kebenaran untuk mereka berunding dengan kementerian bertanggungjawab iaitu KASA,” katanya ketika ditemui pemberita di Bandar Puncak Alam, di sini, malam tadi.
Terdahulu Tengku Zafrul turun padang menyantuni rakyat di Restoran Mamu FZ Puncak Alam.
Kelmarin, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendedahkan satu lagi surat kononnya kerajaan cuba memberikan kontrak bernilai berbilion ringgit kepada syarikat kroni.
Surat berkenaan adalah berhubung projek naik taraf loji bagi kawasan tadahan pembetungan bernilai RM285 juta di Klang Selatan, bertarikh 27 Okt.
Rafizi mendakwa, projek itu diluluskan 17 hari selepas Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober lalu.
Surat itu didakwa daripada bahagian perolehan kerajaan kepada ketua setiausaha KASA.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul juga berkata, proses seterusnya di mana KASA akan buat perbincangan dengan syarikat terbabit mengenai spesifikasi dan keperluan dalam projek itu yang kemudiannya akan diserahkan kepada MoF.
“Lepas KASA setuju, KASA akan buat penilaian juga, penilaian syarikat sama ada syarikat itu lulus atau tidak penilaian kewangan dan penilaian teknikal.
“Kena bagi masa sekurang-kurangnya dua hingga tiga bulan,” jelasnya.
Tambahnya, langkah Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengemukakan surat tuntutan (LoD) kepada Rafizi disifatkan sebagai langkah yang tepat.
“Jadi kita tunggu dan lihat jika kes ini akan sampai ke mahkamah. Saya percaya Tuan Ibrahim pun buat benda yang betul, dia kemukakan surat tuntutan,” katanya.
Tengku Zafrul tidak menolak kemungkinan, isu berkenaan sengaja ditimbulkan Rafizi semata-mata mahu meraih sokongan pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Saya percaya kalau sekiranya ada bukti salah laku, dia patut laporkan lah dan kemukakan bukti kepada SPRM, tak payah lah tunggu selepas PRU15.
“Saya percaya ini hanyalah isu yang dipolitikkan kerana benda itu jelas, LOI tiada, LOA tiada, hanya kelulusan untuk syarikat tersebut berunding dengan KASA,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Saman jangan tidak saman. Silap2 masuk penjara. Lepas tu buat PRK pandan sekali lagi, buat rugi rakyat aje. Sudah lah PRU 14 tidak boleh jadi calon kerana kes mahkamah juga. Memang bangsa tidak insaf ke. Siapa lah guru politik dia.