SUNGAI BULOH – Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, beliau belum menerima notis saman daripada sekumpulan individu yang mendakwa menjadi mangsa kesan sampingan vaksin Covid-19.

Bagaimanapun, katanya, beliau akan melantik peguam bagi menjawab surat berkenaan apabila menerima notis itu kelak.

“Saya belum terima notis saman tersebut. Bila saya terima saya akan minta peguam yang saya akan lantik untuk menjawabnya,” katanya ketika sidang media berkaitan status terkini Covid-19 di Hospital Sungai Buloh.

Semalam, seramai 44 orang memfailkan saman terhadap Khairy, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Kementerian Kesihatan  Malaysia (KKM) selepas mendakwa menjadi mangsa kepada kesan sampingan vaksin Covid-19.

Kesemua individu berkenaan diwakili oleh firma guaman Shahrin Satheer Kamal & Co.

Saman yang sama turut dikeluarkan terhadap tiga pengeluar vaksin iaitu Pfizer, Astrazeneca dan Pharmaniaga.

Mengulas lanjut, Khairy tidak menolak isu vaksin akan kembali menyerangnya menjelang berakhirnya tempoh berkempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) .

Walau bagaimanapun calon Barisan Nasional (BN) Sungai Buloh itu berkata KKM telah berjaya membuktikan bahawa vaksin berkesan mengurangkan gejala akibat Covid-19, selain menurunkan jumlah kemasukan ke hospital akibat jangkitan virus tersebut.

“Saya nak maklumkan, macam-macam video anti vaksin timbul balik untuk serang saya. Saya sudah tanya pakar, dan kita lihat status vaksinasi berkaitan insiden kematian yang tidak pernah divaksin adalah tiga kali lebih tinggi daripada yang telah menerima dua dos vaksin.

“Kita sudah jelaskan dari awal bahawa vaksin ini tidak berhasil untuk mencegah jangkitan kita tapi kurangkan kesan gejala,” tambah beliau.

Dalam masa yang sama, Khairy tidak menolak isu kesihatan awam akan digunakan oleh calon lain di Parlimen itu sebagai bahan berkempen.

Jelasnya, semua calon bebas untuk berkempen namun beliau menegaskan isu yang dibangkitkan perlu berlandaskan fakta dan bukti yang kukuh.

“Tapi saya minta, perbahasan itu berlandaskan fakta kalau calon-calon yang bertanding  masih anggap vaksin sebagai  uji kaji. Saya jemput calon itu untuk rujuk segala data  KKM berkaitan bagaimana vaksin turunkan jumlah kematian, kemasukan ke hospital dan kes sedia ada,” katanya. – MalaysiaGazette