Bantuan Wang Ihsan flood victims
Mohd Zuki Ali

KUALA LUMPUR – Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali akan mengetuai delegasi Malaysia bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi AsiaPasifik (APEC Economic Leaders’ Meeting – AELM) di Bangkok, Thailand dari 18 hingga 19 November 2022.

Di bawah kepengerusian Thailand, dan dipandu oleh tema APEC 2022 iaitu “Open. Connect. Balance”, pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC dijangka menyentuh pelbagai topik bagi mengemudi rantau Asia-Pasifik ke arah landasan pemulihan ekonomi yang inklusif, pertumbuhan yang mampan dan seimbang pasca Covid-19.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, Mohd Zuki dijadualkan menyertai sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC, sesi Dialog Tidak Rasmi Mengenai Penggalakan Perdagangan dan Pelaburan serta Dialog Bersama Majlis Penasihat Perniagaan APEC (APEC Business Advisory Council – ABAC).

Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC juga akan turut menghadap Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn Phra Vajiraklaochaoyuhua.

Di akhir mesyuarat AELM, Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC akan mengeluarkan Deklarasi Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC 2022 dan mengesahkan Matlamat Bangkok mengenai Model Ekonomi Bio-Circular-Green yang akan merencana hala tuju rantau Asia-Pasifik ke arah pembangunan yang mampan dan inklusif.

Penglibatan berterusan Malaysia di dalam AELM mencerminkan komitmen jitu negara bagi memacu objektif teras APEC terutamanya dalam mencapai pembangunan ekonomi, pelaburan dan perdagangan yang mampan ke arah kemakmuran rantau Asia-Pasifik. – MalaysiaGazette