Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Prestasi perdagangan, eksport dan import Malaysia merekodkan nilai tertinggi bagi bulan Oktober setakat ini.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, perdagangan berkembang sebanyak 21.1 peratus kepada RM245.18 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu dan mencatatkan pertumbuhan dua angka yang ke-21 bulan berturut-turut.

MITI dalam kenyataannya hari ini berkata, eksport pada Oktober 2022 meningkat 15 peratus kepada RM131.63 bilion, pertumbuhan dua angka yang ke-15 bulan berturut-turut.

Import pula, katanya naik 29.2 peratus kepada RM113.54 bilion, manakala lebihan dagangan berkurang sebanyak 32 peratus kepada RM18.09 bilion.

Katanya, pertumbuhan eksport disumbangkan terutamanya oleh kenaikan eksport keluaran petroleum, barangan elektrik dan elektronik (E&E), gas asli cecair (LNG) serta petroleum mentah.

“Eksport LNG mencatatkan nilai bulanan tertinggi setakat ini. Sementara itu, eksport ke rakan dagang utama khasnya ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun merekodkan pertumbuhan.

MITI berkata, bagi tempoh 10 bulan pertama tahun 2022, perdagangan, eksport dan import telah melepasi nilai yang direkodkan pada keseluruhan tahun 2021.

Ia berkata, perdagangan meningkat sebanyak 31.6 peratus kepada RM2.375 trilion berbanding tempoh yang sama tahun 2021 dan eksport naik 28.5 peratus kepada RM1.29 trilion.

“Import melepasi aras RM1 trilion buat pertama kali, bertambah 35.4 peratus kepada RM1.085 trilion dan lebihan dagangan naik 1.3 peratus kepada RM205.61 bilion,” kata MITI.

Menjelaskan lanjut prestasi eksport negara, kementerian itu berkata barangan perkilangan 2022 yang merangkumi 84.5 peratus daripada jumlah eksport meningkat 12.6 peratus tahun ke tahun bulan lalu kepada RM111.18 bilion.

Ia berkata, keluaran petroleum dan barangan E&E masing-masing telah merekodkan kenaikan eksport melebihi RM1 bilion.

“Eksport hasil galian melonjak 85.9 peratus tahun ke tahun kepada RM11.22 bilion, nilai bulanan tertinggi setakat ini dan pertumbuhan dua angka yang ke-19 bulan berturut-turut. Peningkatan ini disumbangkan terutamanya oleh kenaikan eksport LNG dan petroleum mentah.

“Eksport keluaran pertanian menguncup tujuh peratus kepada RM8.6 bilion berbanding Oktober 2021 disebabkan oleh pengurangan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta getah asli,” katanya.

Sementara itu, MITI berkata jumlah import pada Oktober 2022 berkembang 29.2 peratus tahun ke tahun kepada RM113.54 bilion.

“Pada tempoh Januari hingga Oktober 2022, import menokok 35.4 peratus kepada RM1.085 trilion berbanding tempoh yang sama tahun 2021.

“Import barangan pengantara bertambah 34.5 peratus kepada RM591.58 bilion, barangan modal meningkat 19.6 peratus kepada RM100.63 bilion dan barangan penggunaan menokok 25 peratus kepada RM85.28 bilion,” katanya.- MalaysiaGazette