Keselamatan di dalam dan luar stadium nasional Bukit Jalil telah dipertingkatkan menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2022 antara JDT FC dan Selangor FC malam ini. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) terus menjadi pilihan sebagai venue final TM Piala Malaysia 2022 pada 26 November ini.

Pemilihan SNBJ yang dianggap venue neutral paling sesuai bagi penganjuran aksi final TM Piala Malaysia edisi ke-96 itu dibuat atas beberapa faktor.

Ia melibatkan keadaan padang, kapasiti stadium, penyiaran, akses pengangkutan awam, kemudahan dan ruang yang luas untuk aktiviti penaja serta keselesaan dan keselamatan penonton.

Bagi tujuan itu, Malaysian Football League (MFL) telah melakukan tinjauan dan pemeriksaan keadaan padang serta kemudahan-kemudahan di SNBJ bersama wakil Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) hari ini.

Hasil pemeriksaan dan maklum balas daripada PSM mendapati keadaan padang SNBJ dalam keadaan baik dan proses penjagaan rapi akan terus dilakukan menjelang aksi final itu nanti.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam, pihaknya berterima kasih kepada PSM yang sedia bekerjasama sekali lagi selepas kejayaan penganjuran perlawanan akhir Piala FA pada 10 September 2022 di SNBJ.

“Sudah pasti bagi MFL kami gembira untuk menganjurkan aksi final TM Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil selepas final Piala FA yang berjalan lancar serta meriah dengan kehadiran lebih 84,000 penyokong. Jadi kami jangkakan sambutan yang sama bagi perlawanan akhir TM Piala Malaysia nanti.

“Kita juga sedia maklum, Stadium Nasional Bukit Jalil adalah gelanggang yang boleh menampung kapasiti penyokong yang ramai dengan fasiliti terbaik jadi kami percaya ini akan memberikan keselesaan dan keselamatan buat penyokong yang hadir.

“Selain itu sudah pasti antara yang turut dititikberatkan adalah kualiti padang dan saya percaya dengan pengalaman PSM dalam mengendalikan final sebelum ini, mereka akan membuat persiapan rapi dalam aspek penjagaan padang menjelang final pada 26 November ini,” katanya di sini.

Selain itu, Stuart turut mengumumkan harga tiket bagi perlawanan tersebut juga masih kekal seperti perlawanan akhir Piala FA tempoh hari iaitu dengan General Admission berharga RM50 dan RM70, Premium Grandstand RM150 serta VIP Grandstand RM200.

“MFL membuat keputusan untuk mengekalkan harga tiket perlawanan akhir TM Piala Malaysia dengan mengambil kira kejayaan penganjuran final Piala FA 2022 di mana sambutan yang ditunjukkan oleh penyokong yang hadir ke stadium cukup hebat.

“Saya percaya dengan penetapan empat ‘tier’ harga tiket ini akan memberi lebih pilihan buat penyokong kedua-dua pasukan finalis yang ingin hadir ke stadium bagi menyaksikan aksi kemuncak TM Piala Malaysia kali ini.

“Untuk proses jualan tiket final ini pula akan ditentukan oleh pasukan finalis seperti yang dilakukan sebelum ini kerana dengan cara ini, tiket yang telah diperuntukkan kepada setiap kelab dapat dibeli oleh penyokong mereka secara sama rata dan adil,” tambah Stuart lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast