Prof. Madya Dr. Azmi Hassan. foto MOHD ADZLAN, 31 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Ahli politik seperti Rafizi Ramli menjadikan penjawat awam sebagai mangsa untuk meraih undi dengan menimbulkan persepsi negatif di mata rakyat.

Penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Azmi Hassan berkata, apa yang dilakukan oleh Timbalan Presiden PKR itu ialah untuk menarik simpati rakyat dengan menggambarkan beliau menjadi mangsa ketidakadilan kerajaan.

“Seharusnya orang politik berpada-pada dalam meraih simpati. Jangan dikambing hitamkan penjawat awam sebab mereka setia kepada kerajaaan yang mentadbir pada hari ini, tidak harus Rafizi merendahkan penjawat awam.

“Ini percaturan politik seperti Rafizi, kalau nak kempen tapi janganlah mangsanya orang lain dalam hal ini penjawat awam. Tuduhan Rafizi berkenaan terhadap SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) yang datang ke pejabatnya adalah cubaan menggambarkan agensi itu, (Rafizi) cuba menggunakan untuk kepentingan politik.

“Ini cara Rafizi, yang sering berlaku dia menunjukkan dia begitu ditakuti oleh lawan politiknya sebab itu guna ungkapan serbu walaupun telah diterangkan oleh SPRM sebaliknya. Inilah caranya untuk mempamerkan beliau adalah mangsa,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Semalam, semasa Ceramah Mega Pakatan Harapan (PH) di Johor Bahru Rafizi memberi amaran kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki akan diambil tindakan jika Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Sabtu ini.

“Esok (hari ini) kita jumpa di mahkamah, lusa (Jumaat) satu hari lagi kempen, Sabtu kita mengundi. Lepas menang pilihan raya kami cari Azam Baki, Insya-Allah.

“Saya tahu Azam Baki tengok ni! Saya harap bila PH menang bila kami cari kamu, kamu jangan salahkan adik kamu sekali lagi,” kata Rafizi.

Rafizi mengeluarkan amaran itu selepas SPRM mengambil beberapa dokumen daripada syarikatnya, Invoke Solutions Sdn Bhd dua kali dalam tempoh dua hari.

Bagaimanapun, Azam berkata, kehadiran empat pegawai agensi itu di pejabat Invoke Solutions semalam hanya siasatan biasa dan bukannya serbuan.

Katanya, kehadiran pegawai SPRM itu merupakan prosedur biasa siasatan terhadap dakwaan pemilikan aset yang diumumkan Rafizi pada minggu lalu.

Menurut Azmi, Rafizi membuat dakwaan terhadap penjawat awam dan agensi kerajaan seperti SPRM kerana mengetahui tindakannya itu tidak akan mendapat serangan balas.

Ujarnya, persepsi negatif terhadap penjawat awam pada saat-saat akhir sebelum hari mengundi akan memberi kelebihan kepada Rafizi meskipun dakwaan yang dibuatnya tidak berasas.

“Penjawat awam jadi sasarannya, Rafizi ugut KP dan kalau lihat sebelum ini Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menuduh tentera menerima RM300 untuk mengundi awal.

“Tidak adil, sebab dia tahu kalau serang seteru politik, mereka akan menjawab kalau penjawat awam tidak boleh menjawab jadi ini akan menjadikan masyarakat memandang negatif kepada penjawat awam,”tambahnya. – MalaysiaGazette