Calon Barisan Nasional (BN) P.073 Pasir Salak, Khairul Azwan Harun bercakap kepada media selepas Pelancaran Manifesto Barisan Nasional Parlimen Pasir Salak sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kampung Gajah, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 16 NOVEMBER 2022.

PASIR SALAK – Sokongan sekumpulan 70 profesor Melayu dikenali sebagai G70 terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri tidak mewakili lebih 21 juta pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Pasir Salak Khairul Azwan Harun berkata, BN tidak mempunyai sebarang masalah jika ada lagi profesor tampil menyokong Presiden PKR itu untuk menjadi perdana menteri.

“Saya mudah sahaja. Kalau ada 7,000 profesor nak sokong Anwar pun saya tak ada masalah.

“Ini kerana jumlah pengundi di Malaysia jumlahnya lebih 21 juta. Apa sangat 70 orang berbanding jumlah keseluruhan pengundi yang ada di Malaysia ini lebih 21 juta.

“Angka 70 itu tidak langsung mewakili dan melambangkan pengundi pada PRU15 ini,” katanya.

Khairul Azwan berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan manifesto BN bagi Parlimen Pasir Salak sempena PRU15 bertemakan Aspirasi Pasir Salak: Ibu Kota Pertanian Masa Depan.

Penyokong Barisan Nasional, Nurul Idayu Ahmad Ariffin menunjukkan lampiran Manifesto Aspirasi Pasir Salak pada Pelancaran Manifesto Barisan Nasional Parlimen Pasir Salak sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kampung Gajah, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 16 NOVEMBER 2022.

Turut hadir calon BN bagi Dewan Undangan Negeri Sungai Manik Datuk Ibrahim Katop dan DUN Kampong Gajah Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin.

Misi aspirasi itu adalah untuk menjadikan Pasir Salak sebagai hub dan ibu kota pertanian masa depan negara kerana kesesuaian geografik kawasan itu.

Semalam sekumpulan 70 profesor Melayu tampil menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

Wan Ramli Wan Daud selaku jurucakap kumpulan itu  mendakwa, Anwar mempunyai pengalaman dan integriti untuk memimpin masyarakat pelbagai kaum serta meningkatkan imej Malaysia di mata dunia.

Menurutnya, Anwar dan Pakatan Harapan (PH) mampu menangani krisis ekonomi, mempertahankan kedudukan agama Islam dan juga menjaga kebajikan orang Melayu dan Bumiputera.

Kumpulan itu turut menggesa rakyat Malaysia menyokong calon yang mementingkan kesejahteraan negara dan rakyat selain mendesak pengundi menolak calon daripada parti yang mengkhianati demokrasi.-MalaysiaGazette