Calon Pakatan Harapan (PH) P.063 Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim Calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) P.146 Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berbual bersama ketika hadir Majlis Grand Finale Jelajah Mega Pakatan Harapan di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) AU2, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 16 NOVEMBER 2022.

MUAR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Muhyiddin Yassin mendedahkan sehingga kini Presiden Parti Ikatan Demoktarik (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman masih berhubung dengannya.

Ini kerana, Syed Saddiq menganggapnya sebagai ‘bapa’ dalam bidang politik.

Katanya, penyandang kerusi Parlimen Muar itu turut menghantar mesej kepadanya melalui WhatsApp mendoakan kemenangannya di Pagoh.

“Pasal dia lihat saya ini sebagai bapa, sampai hari ini pun dia ada hantar WhatsApp doakan saya menang di Pagoh.

“Saya pun begitu juga, nak doakan dia menang di Muar,” katanya semasa berucap di Ceramah Parlimen Muar di Padang Bukit Mor, Parit Jawa di sini.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, secara dasarnya beliau mahu calon PN Muar, Abdullah Husin menang di Muar.

“Bahasanya gitu. Tetapi ‘nawaitu’ kata menangkan Abdullah sebab PN. Tak apalah tak usah cerita,” ujarnya.

Muhyiddin turut berkata, beliau yang membawa Syed Saddiq masuk menyertai politik dan melantiknya menjadi Ketua Pemuda Bersatu.

Beliau akui Syed Saddiq merupakan seorang yang cerdik dan merupakan anak didiknya.

“Syed Saddiq ini anak didik saya. Cerdik. Waktu awal-awal dulu dia tidak masuk politik pun.

“Waktu saya tubuh Bersatu saya tengok anak ini bagus..saya kata datang sini, jangan pergi London dulu untuk belajar sana. Duduk sini dan saya nak lantik dia Ketua Pemuda Bersatu,” tambahnya.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, selepas itu Syed Saddiq keluar Bersatu dan menubuhkan parti MUDA.

“Itu mukadimah permulaan (Syed Saddiq) masuk politik. Entah macam mana lepas itu macam-macam jadi dia terkeluar daripada Bersatu.

“Dia kata nak tubuh parti MUDA, dia tanya saya boleh tak tubuh. Pasal dia lihat saya ini sebagai bapa sampai hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette