KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah membuat persiapan bagi memastikan bekalan elektrik di semua 6,623 pusat Mengundi dan 165 pusat penjumlahan rasmi undi di seluruh Semenanjung berada dalam keadaan baik pada hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15), Sabtu ini.
Pada masa sama, TNB meminta kerjasama semua pihak yang berkenaan agar mengelak daripada melakukan kerja-kerja pengorekan tanah pada hari tersebut dalam usaha mengurangkan risiko menyentuh kabel elektrik, sekali gus menghindari kemungkinan berlaku gangguan bekalan elektrik akibat kerosakan kabel.
Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, syarikat utiliti itu sudah menangguhkan kerja-kerja sedemikian mulai 16 November, di samping memberi tumpuan kepada memastikan kestabilan bekalan sepanjang PRU 15, khususnya pada malam keputusan pilihan raya.
”Nasihat kami, agar kerja-kerja pengorekan ini ditangguhkan dulu dan jika tidak dapat dielakkan, patuhilah semua prosedur dan tatacara yang ditetapkan agar kita sama-sama dapat mengurangkan risiko gangguan.
”TNB telah pun melakukan persiapan awal dalam usaha memastikan aspek teknikal, operasi dan tunggu-sedia bekalan elektrik ke lokasi-lokasi tersebut sentiasa terjamin. Kami juga telah menempatkan pasukan-pasukan petugas bagi memantau dan menunggu sedia untuk lokasilokasi penting ini,” katanya dalam kenyataan hari ini
Menurut Wan Nazmy, TNB telah mendapatkan kerjasama pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di setiap negeri bagi mendapatkan maklum balas perincian keperluan elektrik di kesemua pusat mengundi dan penjumlahan undi.
“Daripada situ, kami telah pun mengambil langkah-langkah yang diperlukan. Insya Allah semuanya akan berada dalam keadaan terkawal,” tambahnya. – MalaysiaGazette