Tan Sri Muhyiddin Yassin

PAGOH – Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meningkatkan serangan terhadapnya selepas menyedari majoriti rakyat Malaysia tidak akan menyokong Pakatan Harapan (PH) pada hari pengundian esok.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, disebabkan itu, Anwar yang juga Pengerusi PH “bertubi-tubi” membuat serangan terhadapnya kerana mahu beliau tersungkur.

“Beliau telah membuat pelbagai dakwaan terhadap saya. Dia (Anwar) nampak parti dia tak dapat tarikan majoriti rakyat.

“Jadi, serang saya berhabis-habisan supaya saya jatuh dan dia jadi Perdana Menteri,” katanya ketika berceramah pada siri Jelajah PN Best Final di Pagoh malam tadi.

Dalam pada itu, Muhyiddin menafikan segala dakwaan Anwar sebelum ini kononnya beliau ada mengambil tanah dan duit semasa menjadi Menteri Besar di Johor.

Beliau menegaskan, dakwaan Anwar itu sebagai fitnah.

“Wallahi saya tak buat begitu tuduhan Anwar merupakan satu fitnah.

“Fitnah itu lebih dahsyat daripada membunuh. Dia ada satu tahap ‘gaban’ dia dah ‘seriau’, hari tinggal beberapa jam lagi orang nak mengundi…. dia nampak parti dia tak dapat tarikan majoriti rakyat,” ujarnya.

Dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini Anwar dilihat sering menyerang Muhyiddin dengan beberapa dakwaan.

Presiden PKR itu sebelum ini menuduh PN sebagai gabungan politik terkaya ketika ini kerana mendapat banyak projek berbilion ringgit ketika pandemik Covid-19.

Anwar yang merupakan calon bagi kerusi Parlimen Tambun turut mendakwa, Muhyiddin yang menjadi Perdana Menteri ketika itu, mengeluarkan banyak projek tanpa tender kepada pihak tertentu.

Susulan itu, Muhyiddin mencabar Anwar mendedahkan penyata akaun partinya.

Cabaran itu disahut Anwar dengan syarat calon PN Parlimen Pagoh itu melakukan perkara sama. – MalaysiaGazette