Calon -calon yang bertanding di Parlimen Titiwangsa.

KUALA LUMPUR- Parlimen Titiwangsa yang sentiasa hangat dengan pelbagai isu antaranya Kampung Melayu Baru bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru pada Pilihan Raya ke-15 (PRU15), esok.

Bagaimanapun, tumpuan pastinya terarah kepada dua calon ini iaitu Datuk Seri Johari Ghani daripada Barisan Nasional (BN) dan Khalid Samad daripada Pakatan Harapan (PH).

Alasannya mudah.. Johari adalah bekas Ahli Parlimen Titiwangsa sejak 2013 sebelum dikalahkan calon PH, Datuk Seri Rina Harun pada 2018 serentak dengan tumbangnya kerajaan BN.

Tetapi bagusnya Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan ini, tidak pernah berhenti menabur bakti kepada penduduk Titiwangsa meskipun jawatannya telah “dirampas” Rina

Mungkin disebabkan itu, Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Masyarakat itu “melarikan diri” ke Sepang dan bertanding di bawah logo Perikatan Nasional (PN).

Sementara Khalid pula dikenali penduduk Titiwangsa terutama di Kampung Baru ketika dilantik sebagai Menteri Wilayah pada 2018 selama 22 bulan.

Bekas Ahli Parlimen Shah Alam itu terkenal apabila membuat tawaran sehingga RM1,000 satu kaki persegi kepada penduduk bagi pembangunan semula Kampung Baru.

Namun begitu, Khalid tetap digelar calon payung terjun, sama seperti Dr. Rosni Adam (PN) dan Datuk Seri Khairuddin Hassan (Pejuang).

Sementara itu, calon daripada PN, Dr. Rosni pula dilihat lebih bersih berbanding calon lain tetapi malangnya pengundi Titiwangsa tidak begitu mengenali beliau secara mendalam.

Malah Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu mengakui sendiri beliau adalah calon ‘underdog’ namun yakin mendapat sokongan daripada penyokong tegar PN.

Manakala Khairuddin pula, beliau dilihat sangat bergantung kepada aura bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sahaja.

Malah para pemerhati politik serta pengundi melihat bekas Ketua UMNO Batu Kawan itu hanya bertindak sebagai pemecah undi di Titiwangsa.

Apa pun faktornya, suka atau tidak, 80,747 pengundi berdaftar mempunyai kuasa penuh untuk memilih wakil rakyat mereka, esok.

Apakah Johari berjaya memenangi semula hati pengundi Titiwangsa selepas kalah dengan majoriti 4,139 undi pada PRU yang turut menyaksikan kejatuhan partinya yang sudah berusia 60 tahun?

Atau mungkinkah Khalid, calon payung terjun yang lari ketika penduduk Shah Alam yang diwakilinya mengalami banjir teruk memikat hati pengundi Titiwangsa?

Atau apakah salah seorang daripada dua calon underdog iaitu Rosni dan Khairuddin dipilih pengundi atas faktor parti yang diwakilinya?

Saranan penting buat semua penduduk di tiga zon di bawah Parlimen Titiwangsa iaitu Kampung Pandan, Keramat dan Kampung Baru, keluarlah mengundi kerana setiap undi amat berharga.

Bukan sahaja untuk kawasan berkenaan tetapi dalam menentukan kerajaan yang bakal memerintah negara ini.- MalaysiaGazette