Tular video mendakwa calon BN Tasek Gelugor berada dalam keadaan lalok susulan minum air ketum.

GEORGE TOWN – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor menyifatkan fitnah dan serangan peribadi yang dilemparkannya tidak menjejaskan beliau untuk terus berkempen melawan parti lawan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sebaliknya, Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Dua itu menganggapkan serangan itu sebagai cubaan untuk menganggu kempen serta menghasut fikiran penduduk menjelang hari pengundian esok.

“Video mana? Macam mana mereka kata tu air ketum? Kalau benar mereka ada bukti buat laporan biar polis jalankan siasatan dan saya sedia untuk disiasat.

“Sampai bila rakyat hendak ‘disaji’ dengan benda-benda macam ini. Adakah mereka (parti lawan) takut kalah? hingga perlu melakukan serangan peribadi sebegini terhadap saya?

“Patut di saat akhir ini kita terus yakinkan pengundi apa yang kita akan bawakan kepada sekiranya diberi mandat bukan cari atau sebarkan fitnah,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tangkap layar menunjukkan dua lelaki sedang membuka bungkusan air yang didakwa air ketum.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 23 saat di Facebook menunjukkan dua lelaki memakai baju BN sedang membuka satu bungkusan air berwarna hijau yang didakwa air ketum.

Dalam video sama, mereka menunjukkan calon yang bertanding di Parlimen Tasek Gelugor kononnya berada dalam keadaan lalok bersama satu botol air berwarna gelap.

Kerusi Parlimen Tasek Gelugor menyaksikan persaingan lima penjuru dengan empat lagi calon bertanding iaitu Perikatan Nasional (PN), Datuk Wan Saiful Wan Jan; Nik Abdul Razak Nik Md Ridzuan (PH) serta calon Warisan; Mohamad Akmal Azhar dan Abdul Halim Sher Jung (GTA-Pejuang). – MalaysiaGazette