Isham Jalil

SHAH ALAM – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Shah Alam, Isham Jalil tidak terkejut kalau pihak lawan meningkatkan fitnah ke atasnya dan beberapa pemimpin UMNO dalam kempen terakhir mereka.

Katanya, beliau sudah kalih dengan strategi pihak lawan yang menggunakan unsur fitnah serta menyerang peribadi bagi menjatuhkan imejnya dalam kalangan rakyat Shah Alam.

Bagaimanapun, katanya, beliau dan BN tetap menjalankan kempen secara positif walaupun malam ini adalah tempoh terakhir semua calon berkempen.

“Saya tahu di saat akhir ini pihak sebelah sana akan lancarkan kempen lagi teruk iaitu kempen negatif mereka untuk menyerang saya dan pemimpin UMNO.

“Saya tidak hairan sebab awal-awal kempen pada 5 November lagi saya sudah difitnah dengan macam-macam tuduhan.

“Namun, kita jangka saat akhir ini mereka lagi agresif dan negatif terhadap kita,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh kempen bagi semua calon yang bertanding ialah pada jam 11.59 minit malam ini.

Esok 19 November 2022 adalah hari mengundi bagi seluruh rakyat Malaysia untuk memilih kerajaan yang benar-benar stabil.

Menurut Isham, beliau juga telah mengingatkan kepada semua jentera BN Shah Alam agar tidak bertindak negatif dalam kempen, sebaliknya memberi tumpuan kepada isu rakyat seperti masalah air, banjir, rumah mahal dan penggondolan hutan simpan.

Katanya, mengenai nyahwarta hutan simpan ini, kira-kira 105,000 rakyat Shah Alam dan Selangor khususnya menandatangani petisyen mendesak kerajaan negeri tidak menyerahkan kawasan itu kepada syarikat pemaju untuk dimajukan.

“Sejumlah 105,000 rakyat membantah bukan jumlah yang kecil, tetapi kerajaan negeri masih juga degil dengan desakan rakyat.

“Dengan itu cara mudah untuk selamatkan hutan simpan ini ialah dengan menyingkirkan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya negeri tahun depan,” katanya. – MalaysiaGazette