Kibaran perang bendera parti menghiasi di sekitar jalan sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Simpang Renggam, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 13 NOVEMBER 2022.

MALAYSIA, sekali lagi  bakal menyaksikan parti-parti politik mana yang bakal diberi tanggungjawab besar untuk digalas mentadbir Putrajaya.

Pembubaran Parlimen yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 10 Oktober 2020 telah mengembalikan semula mandat kepada rakyat.

Rakyat berkuasa penuh untuk membuat pilihan bagi memilih calon dan parti mana paling  layak memimpin negara, sekali gus mencorakkan masa depan negara dan rakyat negara ini.

Setelah dua minggu berkempen, didatangi jentera-jentera parti, mengikuti program-program cerah, rasanya rakyat Malaysia sudah jelas untuk memilih calon dan parti mana yang diyakini boleh memberi perkhidmatan dan mewakili suara mereka.

Meskipun setiap calon dan parti sudah ‘menjual’ manifesto dan ikrar masing-masing, di Johor, rata-rata pengundi Melayu yang ditemui khususnya di kampung-kampung hanya mahu  negara dipimpin oleh kerajaan yang stabil.

Mereka begitu ‘rindukan’ kestabilan dan kemakmuran. Mereka ‘dahagakan’  ekonomi dengan kukuh.

Pengundi-pengundi di luar bandar ini mahu kerajaan stabil yang boleh menjaga kebajikan rakyat. Mereka mahu kerajaan yang boleh ‘membaca’ denyut nadi mereka.

Baik warga emas hingga beliau – semuanya mahu kerajaan yang boleh bekerja untuk mereka.

Oleh itu, mereka mahu sebuah kerajaan stabil supaya tiada lagi ulangan episod kepincangan pentadbiran sehingga boleh menjejaskan Malaysia lantas memberi kesan buruk dalam pelbagai aspek.

Pada mereka, kestabilan sangat penting terutama bagi negara membangun seperti Malaysia kerana dengan faktor itu pembangunan ekonomi dapat dicapai.

Malah, negara mungkin mempunyai peluang melaksanakan pembangunan ekonomi lebih cepat dan berkesan dalam tempoh lebih singkat sekiranya berlaku kestabilan politik.

Dalam konteks ekonomi ketika ini, kestabilan politik menjadi penentu kepada pemulihan dan pembangunan ekonomi Malaysia.

Selama dua minggu di Johor, pemerhatian penulis mendapati keputusan PRU Johor kali ini bergantung kepada undi Melayu.

Jika undi Melayu berpecah, tidak mustahil kebangkitan semula Pakatan Harapan di Johor untuk menawan enam kerusi Parlimen di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

PH ada kemungkinan menang jika undi Melayu berpecah di beberapa kawasan sekiranya jumlah keluar mengundi mengatasi 60 peratus seperti dilihat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lalu.

Namun, kerusi Parlimen Simpang Renggam mempunyai potensi untuk dirampas kembali oleh Barisan Nasional, yang disandang oleh PH.

Begitu juga dengan Parlimen Pontian, Ayer Hitam, Kota Tinggi, Tenggara, dan Tanjung Piai, ia diramal memihak kepada BN.

Akan tetapi, di bahagian selatan pula seperti di Pulai, Iskandar Puteri dan Tebrau, calon-calon BN sedang berhempas-pulas untuk meraih kemenangan.

Apapun, semua terserah kepada pengundi-pengundi Johor untuk menentukan masa depan mereka.

Namun, penulis percaya pengundi di negeri ini semakin bijak untuk membuat pilihan selepas pernah merasai dan melalui pengalaman ketika BN, PH dan PN memerintah.

Justeru, kepada bangsa Johor, anda mempunyai masa sehingga melangkah masuk ke pusat undi untuk memilih kotak calon mana yang patut dipangkah.

Ingatlah, walaupun undi anda satu tetapi undi itu amat bermakna kerana ia menentukan masa depan negara dan hala tuju negara lima tahun lagi. – MalaysiaGazette