Wee Ka Siong. Foto AFFAN FAUZI, 09 NOVEMBER 2022.

YONG PENG – Datuk Seri Dr Wee Ka Siong merayu kepada pengundi-pengundi di Parlimen Ayer Hitam supaya terus memberikan mandat lebih besar kepada Barisan Nasional (BN) supaya lebih banyak lagi pembangunan dapat dibawa di kawasan itu.

Ketika berceramah pada malam Grand Finale Pilihan Raya Umum (PRU15) di sini, malam ini, Ka Siong yang juga calon BN kawasan tersebut  acap kali mengingatkan penyokong-penyokongnya agar memilih kestabilan demi kemakmuran berpanjangan.

Katanya, sejak menjadi wakil rakyat selama hampir empat penggal di kawasan itu, banyak pembangunan telahpun dibawakan oleh beliau menjadikan Ayer Hitam sebagai sebuah kawasan Parlimen yang tidak ketinggalan.

“Saya merayu kepada semua pengundi di Ayer Hitam supaya memberikan undi anda itu kepada Barisan Nasional supaya banyak lagi dapat kita buat di kawasan ini,” katanya.

Dalan pada itu, Ka Siong yang juga Presiden MCA menganggap kerusi Parlimen Ayer Hitam sudah sebati dengan dirinya selepas empat penggal menjadi wakil rakyat kawasan berkenaan.

Justeru, Menteri Pengangkutan yang menjadi Ahli Parlimen kawasan itu sejak 2004 yakin kenalan dan rakan di Ayer Hitam akan membantunya mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut Ka Siong, beliau akan berjuang berhabis-habisan untuk mengekalkan kerusi tersebut di tangan Barisan Nasional (BN) dan akan terus bekerja demi meyakinkan rakyat kerana BN adalah pilihan yang terbaik untuk mereka.

Program yang dihadiri Ka Siong itu mendapat sambutan luar biasa apabila 2,500 orang memenuhi setiap sudut majlis berlangsung – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast