Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) diiringi Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bergambar bersama barisan kepimpinan UMNO dan PAS pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 14 SEPTEMBER 2019
Artikel ini ditulis oleh pembaca Malaysia Gazette
HIMPUNAN 812 menjadi saat paling manis bagi kami akar umbi Pas. Himpunan 1 juta rakyat Tolak ICERD itu menjadi manifestasi kesatuan umat Islam di Malaysia sebagaimana ajaran Nabi Muhammad saw. Kami dapat merasai kemanisan iman, kesatuan umat Nabi saw. Sempadan politik Pas dan UMNO hilang, tiada perbezaan pendapat, tiada had usia dan keturunan, tanpa sempadan negeri dan tidak juga tahap pendidikan menjadi halangan kita Bersatu.
 
Perhimpunan dari negeri ke negeri memuncak di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 8 Disember 2018 itu membuka mata kami bahawa bukan Pas sahaja yang memperjuangkan Islam. Malah mana-mana orang Islam yang mencinta Nabi saw sedia bertaut hati, berkorban tenaga dan masa untuk berjuang demi Islam. 
 
Terbukti apabila kita menolak agenda asing dan muslihat badan dunia di sebalik resolusi hak asasi Konvensyen ICERD, sempadan politik Pas dan UMNO sebenarnya hanya salah faham pendapat yang selama ini dikaburi oleh ego, perasaan benci dan keengganan (atau minda tertutup) kelompok tertentu di kalangan ahli politik, penyokong dan orang ramai yang menurut harapan hati sendiri.
 
Pada jelajah himpunan tolak ICERD peringkat negeri dan Himpunan 812 itu, kita bersolat sama, melafaz dua kalimah syahadah yang sama tanda mentauhidkan Allah dan wala mengikut ajaran Nabi saw sahaja. Laungan perjuangan sama, takbir menjadi milik Bersama. Manisnya rasa iman pada Ketika itu, saya dan rakan-rakan dalam Pas menyaksikan saudara kita dalam UMNO adalah orang yang sama seperti kami, warna pakaian, kopiah, tempat sujud dan slogan perjuangan Islam bukan milik Pas. Semua identiti itu adalah cerminan orang-orang Islam di Malaysia.
 
Ujian dan cabaran yang Allah paparkan setelah Pakatan Harapan (Dap, Bersatu, PKR, Amanah) menerajui pemerintahan negara itu menyuntik hidayah dan keinsafan mendalam kepada kami pada peringkat akar umbi Pas.
Kemanisan iman dan kesatuan ummah itu bertambah semarak sebagai Muafakat Nasional (MN). Rakyat dan orang-orang di Malaysia menyaksikan masa depan yang baik dan penuh rahmah menerusi MN. Kami pada peringkat akar umbi Pas dan UMNO menyatu, bergerak bersama, hadir aktiviti dan perjumpaan yang penuh kasih saying tanpa prejudis dan muslihat politik. Semuanya kerana sedar dan nampak masa depan yang lebih baik untuk Malaysia dengan panyatuan ummah. Tentunya bangsa dan penganut agama lain turut mendapat manfaatnya daripada perpaduan itu.
 
Pada Februari 2019, keadaan berubah sedikit apabila Perdana Menteri meletakkan jawatan dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terbentuk. Saudara kita UMNO sanggup mengetepikan perbezaan dengan Bersatu yang menjatuhkan Barisan Nasional (BN) dan memusuhi UMNO demi memastikan bukan PH-Dap yang memerintah negara dan bukan Presiden PKR yang mendapat pengampunan sekelip mat aitu menguasainya. 
 
Kami akar umbi Pas amat kagumi penyatuan ummah yang menyuburinya perpaduan rakyat dan ummah ketika itu.  Kemanisan iman terutama kami dari kalangan Pas dan UMNO sangat menyegarkan hidup kami siang dan malam.
 
Namun semangat MN meluntur apabila PN muncul dan pemimpin Bersatu terus bermuslihat dan membiarkan saudara mara kita dari UMNO menempuhi krisis imej pertubuhan mereka. Kemuncaknya pada PRN Melaka dan Johor, kami akar umbi menyaksikan pemimpin Pas mengutamakan PN daripada MN yang kami galas selama ini.
 
Jika ada empati, tentu sahaja pemimpin Pas, terutama yang ada jawatan besar dalam kerajaan akan dapat saksikan kekecewaan, rintihan dan air mata kami di Melaka. Kami tidak tergamak meninggalkan saudara kami dalam MN untuk menyertai PN pada PRN Melaka. Pada waktu itu, kami pada peringkat akar umbi malu untuk membuka bilik gerakan. Kadang kala kami rasa berdosa hendak menggantung bendera dan poster PN. Walaupun akur kepada kepimpinan Pas, kami bermufaraqah dan undi kami bagi kepada BN kerana pendokong utamanya, UMNO adalah saudara kami yang sejiwa dan seiman dalam MN. Kemanisan iman itu berlanjutan hingga ke PRN Johor kemudiannya dan kami menyaksikan penyatuan ummah itu menghasilkan kerajaan negeri yang stabil dan jelas bakal membuahkan kemakmuran.
 
Kini sekali lagi kami pada peringkat akar umbi mendepani ujian. Walaupun masih terkenang-kenangkan kemanisan MN, namun kali ini kami lebih pasti dengan keputusan pucuk pimpinan parti dan jentera Pas bergerak lebih mantap untuk PN. Bagaimanapun selepas seminggu berkerja keras untuk PRU-15, kami melihat tiada jentera PN yang bersungguh-sungguh selain Pas kerana jentera komponen lain memang tidak seramai mana yang sanggup menyinsing lengan dan berkorban wang saku untuk kemenangan. Roh jihad, semangat perjuangan terlalu nipis pada mereka kerana jelas sekali penubuhan parti mereka nampaknya Cuma berlandaskan kekecewaan dan dendam.
 
Minggu terakhir berkempen PRU-15 ini nampaknya pimpinan Pas Pusat telah mendapat hidayah dan maklumat jelas muslihat PN. Jentera akar umbi kita sekadar alat di bilik gerakan, konvoi dan kempen jalanan. Khabar saudara MN kita UMNO akan bersama PKR ternyata perang psikologi PN. Sebaliknya pemimpin PN yang ada niat dan mengorak langkah membentuk jajaran PN-PH. Walaupun tersirat, namun kami dapat membacanya dari pantun pucuk pimpinan Pas dan kenyataan Setiausaha Agung Pas mengenai gabungan PN-BN selepas PRU-15.
 
Daripada luahan pandangan dan rintihan kami pada peringkat akar umbi Pas ini, kami berharap kepimpinan parti faham bahawa kami akan terus mendukung perjuangan MN dan mahu terus menikmati kemanisan penyatuan ummah. Kami yakin inilah yang dikehendaki Allah dan dikasihi oleh Rasulullahi SAW,
 
Tambahan pula, kemanisan penyatuan ummah MN ini juga pernah negara ini rasai sebelum penubuhan UMNO apabila alim ulama, guru agama, golongan pendidik dan penggiat NGO kita berhimpun pada Kongres Melayu Se-Malaya di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada Mac 1946. Perhimpunan itu membuahkan kemanisan iman kerana ia selaras ajaran Nabi SAW untuk penyatuan ummah bagi menuntut kemerdekaan, mendirikan kerajaan sendiri dan memajukan pendidikan orang-orang Islam. Demikianlah kenangan, harapan dan cita-cita kami kepada perjuangan MN.
 
Dr Mohd Shukor Sarimin
Aktivis PAS Kg Anjung Batu, Melaka

Nota Pengarang: Penulisan yang dikongsi oleh penulis tidak menggambarkan pendirian atau pandangan MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast