KUALA LUMPUR – Calon Pakatan Harapan (PH) Titiwangsa, Khalid Samad didakwa tidak mempunyai fakta yang tepat untuk mengaitkan Datuk Seri Johari Abdul Ghani dengan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Johari yang juga calon Barisan Nasional (BN) Titiwangsa menegaskan kes 1MDB berlaku ketika beliau masih belum lagi menjadi menteri dan siasatan juga sedang dijalankan.
“Inilah masalah Khalid Samad, dia selalu cerita tanpa guna fakta. Saya jadi Menteri Kewangan II pada Jun 2016 dan 1MDB bermula pada 2009, 2010, 2011. Saya jadi wakil rakyat 2013, backbenchers dua tahun setengah.
“Bila saya masuk kerajaan penyiasatan sedang dibuat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM).
“Bila kes sedang dalam siasatan, macam mana saya nak masuk campur?” katanya selepas bertemu dengan ahli Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) di Pusat Operasi BN Titiwangsa di sini, hari ini.
Beliau mengulas dakwaan Khalid yang mempersoalkan tindakan Johari berdiam diri berhubung isu 1MDB semasa menjawat Menteri Kewangan Kedua.
Susulan dakwaan itu, Johari mengumpamakan dakwaan Khalid dengan isu pembangunan Kampung Baru.
“Khalid Samad ini tak pandai nak mentadbir. Sebab itu isu Kampung Baru, dia tawar dahulu baru bincang dengan Kabinet, sebab dia tak faham. Jadi, perkara yang sudah dalam penyiasatan oleh pihak berkuasa saya tak boleh campur.
“Kenyataan saya semasa jadi Menteri Kewangan II adalah 1MDB ini ada tiga perkara yang tak betul. Satu, modul bisnesnya salah. Kedua, pengurusannya sangat teruk dan ketiga tadbir urus yang tidak bagus, itu saja.
“Sewaktu Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dipecat, saya tak ada dan tak terlibat. Saya jadi wakil rakyat pada 2013 dan ‘backbenchers’ dua tahun setengah sebelum masuk kerajaan.
“Menteri Kewangan II ketika itu adalah Datuk Seri Husni Hanadzlah (tujuh tahun). Sebab itu saya malas nak bercakap dengan Khalid Samad ini, dia retorik. 1MDB dah habis cerita dan Perdana Menteri ketika itu (Najib) dah masuk penjara,” ujarnya.
Dalam pada itu, Johari yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO turut mempersoal apa yang dilakukan Khalid sewaktu beliau menjadi Menteri Kabinet kerana individu yang terlibat dalam kes 1MDB, Jho Low masih terlepas sehingga hari ini.
“Semasa dia jadi kerajaan apa yang dibuat. Jho Low pun masih belum kena tangkap. Mereka ini semua dah bankrap idea. Kebiasaannya orang buat macam ini sebab mereka rasa nak kalah. Kalau orang cakap tanpa fakta ini, saya malas nak layan.
“Sebab itu saya malas hendak bercakap dengan Khalid Samad ini, dia retorik.. Ini semua adalah drama. Politik tak ada tempat untuk orang tak ada fakta,”soalnya lagi. – MalaysiaGazette