ALOR GAJAH – “Undi tetap kena undi, biar rumah tenggelam banjir pun, mak cik tetap datang mengundi esok,” kata warga emas, Rumlah Kasim 64, di sini hari ini.
Dia adalah antara 44 mangsa banjir daripada 10 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Durian Tunggal selepas rumahnya di Kampung Belimbing Dalam ditenggelami air sedalam 1.5 meter sejak Isnin lalu.
Menurutnya, hanya dengan mengundi dia dapat memilih pemimpin yang layak berbanding wakil rakyat yang hanya tahu menabur janji kosong sejak hampir 20 tahun dulu.
“Mak cik dah nekad, dah cakap dengan anak-anak, biar rumah tenggelam banjir pun, jangan lupa keluar mengundi walaupun belum pernah dalam sejarah mak cik tinggal di PPS pada hari mengundi.
“Sebagai rakyat, tanggungjawab ini tidak boleh dilupakan demi masa depan Malaysia yang lebih baik walaupun dengan satu undi,” katanya ketika ditemui media di sini hari ini.
Pandangan sama dilontarkan Norzatulakma Nordin, 35, yang akan menggunakan peluang esok untuk membalas ‘dendam’ terhadap wakil rakyat yang gagal berkhidmat untuk rakyat.
“Bodohlah kalau tak ambil peluang mengundi ini untuk memilih pemimpin yang benar-benar berjiwa rakyat, bukannya sembang kosong pada hari kempen sahaja.
“Memang saya akan balas ‘dendam’ kerana sudah terlalu lama rakyat menderita tinggal di PPS ini setiap kali rumah ditenggelami banjir lebih 15 kali setahun,” katanya yang menetap di Kampung Pulau.
Pengundi muda yang kali pertama mengundi esok, Nurul Atika Nasir, 24, berkata, tidak sabar untuk melaksanakan tugasnya buat kali pertama kepada negara yang tidak pernah dipeduli sebelum ini.
“Memang dulu waktu kecil saya tak tahu pun pentingnya mengundi, tapi bila lihat orang tua saban tahun berpenat lelah kemas rumah lepas banjir, saya rasa perlu berbuat sesuatu.
“Esok pasti saya akan pilih pemimpin yang benar-benar faham masalah dialami kami, yang pernah berjanji untuk membela nasib kami namun tergendala akibat pertukaran kerajaan sebelum ini,” katanya. – Malaysia Gazette.