Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Pas menjangkakan sekurang-kurangnya 70 peratus rakyat Malaysia keluar mengundi esok.

Menurut Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, anggaran itu berdasarkan keadaan cuaca yang hujan lebat, ribut petir dan banjir di sesetengah kawasan.

Keadaan itu, katanya, boleh menjejaskan jumlah peratusan yang keluar mengundi kerana jika hujan dan banjir, sudah tentu mereka tidak dapat keluar mengundi.

“Bagaimanapun, kita harapkan mereka tetap keluar menunaikan tanggungjawab walaupun dalam keadaan hujan,” katanya di sini, semalam.

Pada masa sama, Pas turut menasihatkan pengundi keluar mengundi pada pagi hingga tengah hari bagi mengelakkan hujan dan ribut petir pada belah petang.

Semalam, media melaporkan, beberapa negeri diramal hujan bermula awal pagi Sabtu, iaitu hari pengundian dengan ribut petir dijangka berlaku di seluruh negara pada sebelah petang.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Lim Ze Hui dilaporkan berkata, antara negeri yang akan mengalami hujan pada awal pagi termasuk Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka sehingga ke barat Johor.

Tuan Ibrahim yang merupakan penyandang Pas Parlimen Kubang Kerian berkata, suasana pengundi ketika ini lebih kepada Perikatan Nasional (PN) yang didokong bersama Pas dengan Parti Bersatu.

Katanya, sokongan itu adalah daripada golongan anak muda yang baru mula mengundi PRU ini.

“Mereka amat teruja dengan PN dan dijangka menyumbang kemenangan untuk beberapa kerusi esok.-MalaysiaGazette