Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad beramah mesra bersama penduduk di Lipis.

LIPIS – Barisan Nasional (BN) adalah satu-satunya parti yang mampu membawa kemakmuran dan kestabilan berdasarkan rekod cemerlang mentadbir negara.

Calon BN Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, sejumlah RM1.4 bilion nilai pelaburan dan inisiatif untuk rakyat yang telah dibawa ke Parlimen Lipis yang merupakan antara parlimen luar bandar di Malaysia.

Ia membuktikan kemampuan BN membawa masuk pelabur dari luar untuk melabur walaupun berdepan dengan kelembapan ekonomi dunia.

“Jumlah ini adalah jumlah pelaburan yang dibawa masuk untuk mewujudkan Bandar Pertahanan Lipis yang bernilai lebih RM1 bilion selain projek-projek berimpak tinggi seperti projek penternakan ayam daging bernilai RM500 juta untuk menjana ekonomi dan pendapatan penduduk setempat.

“Selain itu, jumlah ini turut merangkumi pelbagai projek prasarana luar bandar bernilai RM149 juta, RM836,000 untuk pelbagai bantuan usahawan dan program penjanaan pendapatan selain pelbagai inisiatif untuk pelbagai lapisan penduduk di Lipis membuktikan BN tidak pernah ketandusan idea dalam mencorakkan pembangunan di Lipis sekaligus antara parlimen yang menerima pelaburan tertinggi di negeri ini,” katanya.

Tambah Abdul Rahman, kesemua projek-projek dan pelaburan itu mampu menjana peluang pekerjaan di sekaligus mampu merancakkan kembali ekonomi dan memberikan pendapatan kepada penduduk di Lipis.

Beliau yang juga merupakan penyandang kerusi Parlimen Lipis berpegang kepada pelan strategik pembangunan Lipis yang diilhamkannya sebelum ini sebagai asas panduan dalam membantu penduduk Lipis.

Abdul Rahman Mohamad yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar yakin pengundi dan pengundi luar mampu menilai kebolehan beliau sebagai calon untuk dipilih bagi mewakili penduduk Lipis di Parlimen.

“Saya berharap pengundi tempatan dan pengundi luar dapat melihat kejayaan dan perkhidmatan yang telah saya berikan sekaligus memberikan mendat kepada saya dan BN untuk kembali membentuk kerajaan persekutuan dan negeri,” ujarnya.

Beliau turut menganggap apa yang diterima oleh Parlimen Lipis sebagai hadiah daripada beliau untuk pengundi PRU15 ini.

Parlimen Lipis bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Abdul Rahman (BN) menentang Tengku Zulpuri Shah (PH), Aishaton Abu Bakar (Pejuang) dan Datuk Shahrum Osman (PN).- MalaysiaGazette