TANJUNG PIAI – Program pembangunan belia di kawasan Parlimen Tanjung Piai perlu dilaksanakan menerusi pendekatan baharu yang lebih fokus dan bersasar.
Ia bagi membolehkan program pembangunan itu selari dengan perkembangan semasa, sekaligus memberi impak optimum bagi mengangkat pembangunan belia di kawasan terbabit.
Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata, belia atau golongan muda tidak terlepas berdepan dengan pelbagai cabaran dalam persekitaran yang semakin kompetitif dan kompleks.
Katanya, berikutan itu belia perlu mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan karakter yang positif supaya dapat memimpin dan memajukan negara pada masa hadapan.
“Selain itu kita harus menekankan dari segi sosial ekonomi untuk membawa pembangunan di Tanjung Piai dan kita akan bawa di kawasan Tanjung Piai.
“Seperti mana yang kita tahu PRU- 15 ini amat penting dan sudah tentu saya akan juga memberi tumpuan termasuk peluang pekerjaan terutama untuk anak-anak muda kita supaya ia akhirnya dapat hidup berkualiti,” katanya ketika ditemui pada sesi walkabout di Kampung Kukup Laut, di sini, hari ini.
Menurut Jeck Seng, berikutan itu beliau akan mengambil kira modal insan yang berkualiti dan aakan bekerjasama dengan Kolej Komuniti Tanjung Piai bagi mewujudkan kursus yang sesuai untuk belia.
Tambahnya, beliau akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan sahsiah belia di Tanjung Piai dengan memastikan mereka sentiasa mempunyai kegiatan bermanfaat dan menjadikan sukan sebagai satu budaya.
Ditanya mengenai potensi beliau mengekalkan kerusi Parlimen Tanjung Piai, Jeck Seng berkata, BN telah pun melakukan yang terbaik dan yakin mampu mengambil hati pengundi lama dan baharu.
“Kami telah berusaha sedaya upaya dengan pergi rumah ke rumah, saya lihat semuanya positif dan mendapat maklum balas yang sangat baik daripada semua lapisan masyarakat di sini.
“Kita juga telah memaklumkan manifesto kita kepada rakyat dan kita lihat mereka pun sudah pasti gembira. Apa pun saya nasihatkan semua pengundi supaya keluar awal untuk mengundi,” ujarnya.
Para Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Jeck Seng akan berhadapan dengan calon Pakatan Nasional, Najwah Halimah Ab Alim dan Lim Wei Jiet (Parti Ikatan Demokratik Malaysia). – MalaysiaGazette.