Peniaga pulut udang di Kubang Semang, Pulau Pinang mendakwa waktu perniagaannya menjadi singkat pada musim PRU15 susulan hasil jualan habis cepat.

SEBERANG PERAI – Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menjadi sandaran kepada peniaga kecil menjana pendapatan berlebihan daripada biasa.

Rata-rata peniaga makanan di negeri ini mendakwa  limpahan rezeki tidak hanya terhad daripada pekerja dan penyokong parti, malah kehadiran orang luar yang sekadar ingin meninjau perkembangan kempen di sesuatu kawasan juga menjadikan perniagaan mereka lubuk rezeki.

Selain itu, peniaga turut mendakwa menjelang hari pengundian esok bahan di gerai mereka turut ditambah susulan akan menerima jumlah pengunjung yang luar biasa.

Peniaga laksa beras di Kubang Semang, Fadzli Abdul Rahman, 52, berkata, dia menjana pendapatan lebih dua kali ganda pada PRU15 berbanding hari biasa.

Fadzli.

Jelasnya, lokasi gerai berhampiran pusat kempen beberapa parti politik turut menjadi faktor gerainya menerima kunjungan ramai.

“Sudah 10 tahun saya usahakan perniagaan ini dan ketika pilihan raya lah kami nak rasa pendapatan lebih.

Peniaga laksa beras Kubang Semang memperoleh pendapatan berganda pada musim PRU15.

“Selalu saya buat laksa beras dalam 20 kilogram (kg) tapi memandangkan esok hari mengundi dan jarak pusat pengundian SK Penanti ini hanya jalan kaki jadi saya menambah jumlah laksa sebanyak 50 kg,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Bagi, peniaga air, Halijah Ismail, 49, pula, dia terpaksa mengambil pekerja sambilan dua orang untuk membantu mereka tiga beranak menguruskan perniagaan air esok.

Halijah.

“Kalau hari biasa, saya dengan dua orang anak yang uruskan perniagaan ini tapi sebab esok hari mengundi kami jangkakan ramai orang akan datang.

“PRU lepas kami dah rasai situasi penat uruskan perniagaan tiga orang. Memang tak menang tangan, jadi PRU15 kami buat persiapan tambahan pekerja,” katanya.

Menurut peniaga di Penanti itu, lokasi pusat mengundi berhampiran serta cuaca panas antara faktor pengundi akan singgah di gerainya.

“Selalunya memang orang datang tak berhenti dan teh ais, teh o ais menjadi pilihan pembeli,” jelasnya.

Sementara itu, situasi berbeza bagi peniaga pulut udang Masjid Kubang Semang yang mendakwa jumlah penjualannya sama namun waktu perniagaan menjadi singkat.

Nurshyrihad Ruszmi, 27, berkata, hari biasa mereka memerlukan empat jam untuk menjual 250 pulut udang namun tempoh masa itu berkurangan pada musim PRU.

Nurshyrihad.

“Macam hari ini, buka gerai 2.30 petang lepas solat Jumaat tapi sejam kemudian sudah 150 pulut udang terjual.

“Saya tidak menolak kemungkinan orang ramai pulang ke kampung untuk melakukan pengundi menyebabkan hasil jualan kami habis cepat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast