TANJUNG PIAI – Penduduk Tanjung Piai berharap penyandang kerusi Parlimen wasanan itu, Wee Jeck Seng, terus menjadi wakil rakyat mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mereka mahukan wakil rakyat yang sentiasa berada di Tanjung Piai bagi memudahkan penduduk menemui untuk meluahkan permasalahan.

Mohdi Bahtiar, 39, berkata, Jeck Seng bukan sahaja merupakan wakil rakyat yang mudah didekati tetapi beliau juga adalah jambatan antara rakyat dengan kerajaan.

Mohdi Bahtiar

Katanya, sepanjang menjadi wakil rakyat, Jeck Seng telah banyak membantu rakyat tanpa mengira kaum dan bantuan yang disalurkan sampai dengan cepat.

“Dia (Wee Jeck Seng) memang sentiasa  bergerak, saya lihat daripada calon lain YB memang sentiasa turun padang. Senang nampak muka dia di kawasan. Macam calon lain jarang saya nampak mereka bergerak.

“Dia pun banyak beri bantuan, bantuan rakyat saya lihat kalau bantuan yang diberikan memang akan sampai di rumah.

“Kalau setiap kali ada aduan (sebelum ini), yang datang hanyalah pegawai khas atau wakil sahaja. Rakyat sini mahukan Ahli Parlimen mudah untuk berjumpa dengan mereka. Itu harapan kita di Tanjung Piai,” katanya.

Kamaruddin Kasman, 52, memberitahu, beliau tidak mahu bakal rakyat yang hanya gah di laman media sosial tetapi gagal membantu penduduk

Kamaruddin Kasman

Tambahnya, Tanjung Piai memerlukan seorang wakil rakyat yang bertanggungjawab dan meletakkan keperluan penduduk sebagai keutamaan.

“Saya lihat dia mempunyai sikap prihatin kepada rakyat di Parlimen Tanjung Piai dan saya lihat harapan dia cerah dan dia memang selalu membantu penduduk di sini dan selalu dia turun padang membantu. Ini kenyataan,” ujarnya.

Menurut Kamaruddin, beliau mahu melihat Jeck Seng membangunkan pekan Serkat sebagai destinasi pelancongan.

Peniaga, Norizan Zainal,38, mengakui pemimpin berkenaan mudah mesra dan sentiasa peka dengan permasalahan rakyat.

Norizan

Beliau mahukan wakil rakyat mampu membangunkan kawasan Tanjung Piai selain menjana peluang pekerjaan di sini.

“Jika boleh memang saya mahukan Wee Jeck Seng menang kerana dia orang sangat mudah didekati. Kita sebagai rakyat tidak segan dengan dia walaupun berlainan bangsa.

“Paling utama dia seorang yang suka membantu sesiapa sahaja dan tak lokek dengan senyuman orangnya,” katanya sambil berharap kebajikan peniaga kecil seperti beliau dijaga.

Mohd Nazrol Mad Min, 48, memberitahu, sifat calon BN yang petah berbahasa Melayu itu menjadikan pengundi Melayu mudah merapatinya.

Mohd Nazrol Mad Min

“Saya kenali dia sudah lama, dia banyak membantu dari segi pekerjaan di kawasan Parlimen ini dan banyak mengambil tahu masalah kami semua.

“Orangnya tidak sombong, rendah diri dan mesra selain petah berbahasa Melayu. Itu yang buat kami selesa dengan dia (Jeck Seng),” katanya. – MalaysiaGazette