TANJONG KARANG – Barisan Nasional (BN) mengingatkan jentera dan akar umbinya agar sentiasa berwaspada dengan sebarang kemungkinan dan usaha pihak tertentu untuk menjejaskan kemenangan parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Calon BN Parlimen Tanjong Karang, Datuk Habibah Mohd Yusof menggesa jentera parti khususnya wanita sentiasa menyedari unsur tersebut jika ia cuba dimainkan pihak tertentu.
“Wanita BN diingatkan jika ada unsur-unsur hasutan, sabotaj dan sebagainya, saya nak minta mereka sedari.
“Jangan kita terpengaruh atau terlibat jika ada, kalau tak ada Alhamdulillah, tapi wanita ini dia satu jentera yang sangat setia, jujur, komited.
“Dia kadang-kala dia perlu diingatkan selalu supaya dia sedari dan waspada dengan perkara-perkara dalam persekitaran.
“Wanita ini kalau dia kerja, dia kerja sahaja dengan seikhlasnya, itu sifat wanita yang saya pimpin dekat empat penggal,” katanya kepada MalaysiaGazette di bilik gerakan BN Parlimen Tanjong Karang, di sini, hari ini.
Kerusi P095 Tanjong Karang bakal menyaksikan pertembungan lima penjuru antara Datuk Dr. Zulkapferi Hanafi (PN); Siti Rahayu Baharin (PH); Azlan Sani Zawawi atau Lando (GTA) dan calon Bebas, Mohd. Rosni Mastol.
Sebelum ini, Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar mempertahankan kemenangan kerusi itu sejak 1995 melalui PRU9 hingga PRU14.
Walaupun sebelum ini pencalonan Habibah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanjong Karang seolah-olah tidak mendapat restu daripada penyandangnya, namun keadaan itu sudah berubah.
“Saya ini sebenarnya seorang yang susah nak putus asa, dan tak pernah putus asa, itu personaliti saya, kata orang-orang tua macam degil sikit.
“Lagi kuat cabaran, lagi bersemangat saya untuk cuba (harungi) halangan yang mendatang, nak menyerah kalah itu memang jarang lah, biasanya saya akan teruskan,” katanya.
Habibah turut berasa terharu dengan layanan luar biasa yang diberikan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tanjong Karang untuk memperkenalkan beliau kepada seluruh masyarakat di kerusi P095.
“Saya pergi ke PDM Ulu Tiram Buruk Utara, saya terkejut beberapa buah motosikal ketika saya di simpang jalan, lepas itu disediakan untuk saya celurut macam tram diarak saya satu kampung.
“Bersyukurlah Allah permudahkan segala-galanya walaupun peringkat awal saya rasa memang bergelut sebab saya ini orang lama, calon baharu, tapi baru pertama kali bertanding.
“Jadi memang ada reaksi spontan, merajuk sehari dua sahaja dalam kalangan jentera, sekarang kembali ke landasan, saya bersyukur Alhamdulillah,” katanya.
Sementara itu, beliau memberitahu jentera BN komited untuk mempertahankan kerusi P095 Tanjong Karang yang dimenangi Noh sejak enam penggal berturut-turut sejak 1995.
“Saya optimis BN mengekalkan P095 ini Insya-Allah, sebab akar umbi UMNO sangat kukuh, mereka tidak peduli siapa calon, yang penting adalah parti, itu memang saya tahu,” jelasnya.
Katanya lagi, walaupun kempen PRU15 bakal berakhir 12.01 tengah malam esok, namun beliau berpuas hati dapat menyantuni hampir keseluruhan pengundi Parlimen Tanjong Karang.
“Saya lihat ada satu gelombang yang luar biasa sehingga saya pergi ke ladang Tanamaran, orang India keluar begitu ramai.
“Bekas ADUN di situ pun sudah tiga kali bertanding, dia kata tak pernah tengok pengundi India begitu teruja untuk berjumpa dengan calon kali ini. Alhamdulillah, saya bersyukur sangat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette