Reaksi bersahaja Perdana Menteri yang juga calon Barisan Nasional P.090 Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menyantuni warga setempat pada Program Ramah Mesra bersama Penduduk Felda Tementi pada hari terakhir kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Triang, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 18 NOVEMBER 2022.

BERA – Kenyataan Rafizi Ramli yang mahu mengambil tindakan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) merupakan warna sebenar pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, belum pun memerintah negara, PH sudah ada niat jahat kepada kakitangan kerajaan.

“Ya, jadi inilah sikap sebenar mereka yang sentiasa menyimpan dendam. Selepas PRU14, kita tengok mereka sudah balas dendam.

“Hari pertama, pegawai kerajaan yang tak bersama mereka dibuang, kakitangan kontrak puluh ribu dibuang begitu sahaja seperti JASA, BTN dan sebagainya kerana menganggap mereka penyokong BN,” katanya ketika ditemui menemui penduduk Bandar 32 di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR yang mahu mengambil tindakan terhadap Datuk Seri Azam Baki sekiranya PH menguasai kerajaan selepas PRU15.

Menurut Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO, sikap PH yang anti kakitangan kerajaan nampaknya dipamerkan semula oleh Rafizi.

(Selepas PRU14), pengerusi syarikat, anak syarikat kerajaan dari BN terus dapat surat pecat..maknanya sikap mereka ditunjukkan semula apabila Rafizi ugut Ketua Pesuruhjaya SPRM.

“Penjawat awam tak lupa kenyataan mereka (PH) iaitu kakitangan kerajaan bersaiz besar dan perlu diperkecilkan , maknanya buang orang.

“Saya harap kakitangan kerajaan sedar perkara ini termasuk tuduhan kepada tentera dibayar dan ini satu penghinaan kepada tentera dan keluarga mereka,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tindakan Rafizi ugut Azam Baki tidak wajar – CUEPACS