SUNGAI BULOH – Menjelang sehari sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pengundi Sungai Buloh mempunyai pelbagai responnya sendiri.
Ada yang sudah tekad membuat pilihan dan ada juga masih membuat pertimbangan.
Bagi pengundi pertama kali, peluang untuk memilih calon terbaik mewakili suara mereka khususnya bagi Parlimen Sungai Buloh, tidak akan dilepaskan.
Seorang pengundi muda, Mohd Amru Masiadi, 21 tahun berpendapat, pengundi pertama kali bakal memberi impak besar pada PRU15.
“Saya rancang hendak keluar jam 12 tengah hari sebab pagi biasanya mesti ramai orang. Jadi untuk yang dah cukup umur untuk mengundi jangan lepaskan peluang untuk melaksanakan tanggungjawab sebab itu tanggungjawab kita,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Mohd Amru berkata, walaupun sudah ada calon wakil rakyat yang bakal dipangkah esok namun dia tetap gemuruh kerana
keputusannya akan memberi impak kepada pembentukan kerajaan yang bakal memerintah negara.
“Saya pun bakal mengundi kali pertama, pilihan sudah ada cuma berdebar-debar juga sebab kali pertama nak buat pilihan ni, melibatkan tanggungjawab kepada negara kan,” tambah beliau.
Sebagai rekod, Sungai Buloh mempunyai 158,090 daftar pemilih bagi pilihan raya kali ini.
Calon yang bertanding di Parlimen berkenaan adalah Calon Pakatan Harapan (PH), Ramanan; Barisan Nasional (BN) Khairu Jamaluddin; Mohd Ghazali Md Hamin (Perikatan Nasional); Mohd Akmal Yusoff (Pejuang); Ahmad Jufliz Faiza (Parti Rakyat Malaysia) manakala dua mewakili Bebas iaitu Syed Abdul Razak Syed Long Al Sagoff dan Nurhaslinda Basri.
Sementara itu, seorang lagi anak jati kawasan berkenaan Zaidi Marzuki, 42 berharap agar proses pengundian akan berlangsung dengan lancar esok.
Jelasnya, semua penduduk kawasan berkenaan perlu membuat pilihan dengan bijak.
“Ini ke sekian kali saya mengundi dan berharap esok semuanya berjalan dengan lancar, harap cuaca esok baik.
“Pada sesiapa rakan dan sahabat yang rumahnya banjir harap dapat tunaikan tanggungjawab dan juga wakil rakyat yang akan menang dapat tengok kawasan masing-masing,” tambahnya.
Dalam masa yang sama beliau turut menasihati pengundi muda untuk tidak mengambil remeh tentang pentingnya tanggungjawab mengundi.
“Pengundi muda jangan melatah pangkah betul -betul sebab pilihan kita akan menentukan pimpinan kita untuk lima tahun. Ini bukan perkara remeh, jadi undi betul-betul,” tambah beliau.
Dalam pada itu, salah seorang warga emas di Paya Jaras, Rogayah Said, 62 berkata, beliau masih belum membuat pilihan wakil rakyat meskipun berbaki sehari sahaja lagi hari pengundian.
Sehingga kini, Rogayah masih mempertimbangkan calon-calon Parlimen Sungai Buloh yang ingin dipilihnya.
Namun begitu, beliau tetap rasa teruja untuk keluar mengundi pagi esok.
“Banyak sangat proposal (calon) masih keliru ni nak pilih siapa sebab ramai sangat tidak tahu nak undi siapa esok baru tahu. Saya buat keputusan saat akhir lah ni.
“Tapi teruja nak mengundi esok, kena bangun pagi beratur
Saya nak keluar mengundi esok jam 8,” katanya lagi.-MalaysiaGazette