KUALA LUMPUR – Menjelang hari pengundian esok, orang ramai terus membanjiri hab pengangkutan awam Terminal Bersepadu Selatan (TBS) malam ini untuk pulang ke kampung.
Semangat untuk pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi adalah terpuji, namun mentaliti segelintir pengguna kemudahan awam yang berhemah masih di takuk lama.
Dalam keterujaan untuk pulang ke kampung menunaikan tanggungjawab terdapat mentaliti segelintir pengguna kemudahan awam masih berada di takuk lama.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, terdapat beberapa pengguna yang dipercayai menunggu ketibaan bas dilihat baring di atas kerusi tanpa memikirkan penumpang lain.
Dengan kepadatan orang ramai di terminal tersebut, masih terdapat juga individu yang meletakkan pelbagai barangan di atas kerusi sehingga merugikan ruang yang boleh dimanfaatkan pengguna lain.
Selain itu, hab pengangkutan awam yang sepatutnya menjaminkan keselesaan buat pengguna turut dicemari dengan pemandangan yang kurang enak dengan menjadikan ruang kondusif itu sebagai tempat tidur.
Seorang pengguna yang akan menuju ke Kuala Terengganu, Nur Fathiah Mustafa berkata, situasi itu menimbulkan rasa kurang selesa buatnya kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku.
“Sejujurnya, memang rasa sedikit kurang selesa. Bukan ingin skeptikal, tapi kita juga perlu berjaga-jaga sebab banyak kejadian tidak diingini boleh berlaku,” katanya.
Kata wanita berusia 28 tahun itu, pihak bertanggungjawab sepatutnya meningkatkan pemantauan agar TBS kekal menjadi hab yang selamat dan selesa buat pengguna. – MalaysiaGazette