KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mengakui beliau kecewa dengan keputusan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) malam ini.
Jelasnya, igauan buruk beliau ekoran pengguguran sejumlah nama calon bagi PRU15 nyata memberi kesan buruk kepada Barisan Nasional (BN).
Kali ini kenyataannya sebagai Presiden NGO Muafakat Nasional.
“Dukacita teramat sangat. Al Quran itu benar. Perpecahan menjadikan kamu lemah dan hilang kekuatan.
“Kami anjurkan muafakat. Kami di label tidak setia. Kami minta jangan berpecah, Kami yang menerima padah,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Keputusan tidak rasmi menunjukkan Barisan Nasional (BN) kehilangan banyak kerusi antaranya Gua Musang, Tanjung Karang dan Padang Terap.
Malah Annuar turut menggambarkan BN sudah tewas dalam pilihan raya kali ini.
“Kini, ke mana kita nak dibawa? Mahu menjalin jajaran yang kita tolak? Mahu melanggari keputusan PAU (Perhimpunan Agung UMNO) dan parti sekali lagi?
“Undurlah. Cukuplah kebinasaan ini. Dengar suara rakyat. Fahami kehendak rakyat. Jangan sombong,” katanya tanpa menamakan individu yang dimaksudkannya. – MalaysiaGazette