Keadaan di Bangunan UMNO Johor yang lengang pada malam keputusan PRU15.

JOHOR BAHRU – Suasana di pusat gerakan Barisan Nasional (BN) di Bangunan UMNO Johor, di Jalan Yahya Awal, di sini sunyi.

Setakat jam 10 malam tadi, tidak ramai penyokong parti yang dilihat di bangunan itu untuk melihat keputusan terkini Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Suasana itu pastinya berbeza berbanding keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac lalu.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati hanya Pengarah Operasi Pilihan Raya BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga Menteri Besar dan Setiausaha UMNO Johor, Datuk Samsolbari Jamali kelihatan memasuki pusat gerakan bagi meninjau keputusan terkini Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Difahamkan, Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad  kini berada di Ibu Pejabat UMNO di Kuala Lumpur.

Petugas media yang berada di Pejabat UMNO Johor sejak jam 7 malam juga tidak dibenarkan memasuki bilik mesyuarat dan hanya dibenarkan menunggu di luar bilik pusat gerakan sementara menunggu keputusan rasmi.

Difahamkan terdapat perbincangan tertutup antara Onn dan petugas parti.- MalaysiaGazette