KUALA SELANGOR – Seorang ibu muda yang baru lepas berpantang, antara 102,553 pengundi di Parlimen Kuala Selangor yang menunaikan tanggung jawab pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), hari ini.

Kehadiran pengundi muda, Nurul Iffah Norhusaini, 29, mendapat perhatian apabila dia menolak kereta sorong bersama bayinya berusia dua bulan selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan Puncak Alam Fasa 2, kira-kira jam 8.10 pagi ini.

Walaupun baru habis berpantang, Nurul Iffah tidak melepaskan peluang untuk memilih wakil rakyat yang benar-benar boleh berkhidmat kepada rakyat di kawasan itu.

Nurul Iffah Norhusaini, 29, mendapat perhatian petugas media kerana menolak kereta sorong bersama bayinya berusia dua bulan selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan Puncak Alam Fasa 2, kira-kira jam 8.10 pagi ini.

“Sebagai pemilih, saya ingin menjadi salah seorang pengundi menentukan calon terbaik demi masa depan negara,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang pengundi yang berkerusi roda, Mohd Tajri Mohd Affandi, 46, berkata, dia tiba di pusat pengundian di sekolah itu sejak jam 8 pagi.

Menurutnya, meskipun keadaan fizikal membataskannya bergerak, namun dia tetap bersemangat untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

“Saya menghidap komplikasi pelbagai penyakit seperti buah pinggang dan kencing manis, tetapi tanggungjawab mengundi tidak akan dilupakan,” katanya.

Mohd Tajri Mohd Affandi, 46, menunjukkan jari dengan kesan dakwat kekal selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan Puncak Alam Fasa 2, Bandar Puncak Alam, kira-kira jam 8.10 pagi tadi.

Mohd Tajri memberitahu, lazimnya dia antara pengundi paling awal beratur ke pusat pengundian setiap kali pilihan raya.

“Saya tidak mahu bersesak, lebih-lebih lagi Covid-19 masih menular dan semakin meningkat ketika ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast