Tenaga Nasiona Berhad

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) komited memastikan bekalan elektrik di semua 6,623 Pusat-pusat Mengundi dan 165 Pusat-Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di seluruh Semenanjung berada dalam keadaan baik pada hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hari ini.

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, seramai 3,200 orang anggota kerja TNB telah ditugaskan untuk sentiasa berada dalam tunggu sedia di lapangan dan bilik-bilik gerakan operasi seluruh negara semasa proses pengundian PRU15 ini.

Menurutnya, situasi bekalan elektrik seluruh negara dipantau setiap masa sehingga proses penjumlahan rasmi undi yang dijangka berlanjutan sehingga tengah malam nanti.

Dalam pada masa yang sama, TNB turut mendepani situasi banjir yang berlaku di beberapa kawasan di beberapa buah negeri dengan memastikan bekalan elektrik di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tidak terganggu.

Katanya, lor-lori janakuasa bergerak dan set janakuasa mudah alih telah ditempatkan di setiap Pusat Penjumlahan Rasmi Undi dan beberapa lokasi banjir sebagai tunggusedia untuk memberikan bekalan sekiranya diperlukan.

Sebelum ini, sebagai langkah berjaga-jaga TNB turut memberikan peringatan kepada semua pihak agar mengelak daripada melakukan kerja-kerja pengorekan tanah dalam usaha mengurangkan risiko menyentuh kabel elektrik, sekali gus menghindari kemungkinan berlaku gangguan bekalan elektrik akibat kerosakan kabel. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast