Calon Perikatan Nasional P.107 Sungai Buloh, Mohd Ghazali Md Hamin bersama isteri dan anaknya menunjukkan jari yang berdakwat selepas selesai mengundi pada Hari Pengundian sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di SK Seksyen 7 Kota Damansara, Petaling Jaya. Foto FAREEZ FADZIL, 19 November 2022.

SUNGAI BULOH – Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Sungai Buloh, Mohd Ghazali Md Hamin, isteri dan empat anaknya selesai mengundi kira-kira jam 9.30 pagi tadi.

Beliau tiba di Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 7 Kota Damansara pada 8.12 pagi tadi, salah satu daripada 28 Pusat Mengundi bagi parlimen tersebut. 

Ketika ditemui pemberita beliau berpuas hati dengan  proses pengundian di situ yang berlangsung dengan lancar.

Berdasarkan situasi pengundian ketika ini, Mohd. Ghazali yakin, semua pengundi sempat menunaikan tanggungjawab sebelum tempoh  tamat pada 6 petang nanti.

“Saya tadi mengundi di saluran dua, dan kira-kira satu jam sudah lebih 100 pengundi selesai menunaikan tanggung jawab masing-masing.

“Jadi saya sarankan kepada semua untuk keluar mengundi mengikut masa yang disarankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya situasi lebih teratur

“Kalau lihat keadaan terkini sedikit sesak, berkemungkinan ada yang mendapat masa yang disarankan waktu petang tetapi datang pada pagi, bagaimanapun secara keseluruhan semuanya berjalan lancar,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini.

Menurut beliau, walaupun keadaan pagi tadi sedikit hujan namun pengundi tetap bersemangat untuk keluar dari rumah lebih awal untuk menunaikan tanggungjawab memilih dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

Mohd Ghazali yang merupakan calon Pas itu berhadapan dengan enam calon lain demi merebut kerusi Parlimen Sungai Buloh.

Calon lain ialah Khairy Jamaluddin dari Barisan Nasional (BN), R Ramanan (Pakatan Harapan),

Mohd Akmal Yusoff (Pejuang), Ahmad Jufliz Faiza (Parti Rakyat Malaysia) dan dua calon Bebas iaitu Syed Abdul Razak Syed Long Al Sagoff serta Nurhaslinda Basri.

Untuk rekod, parlimen tersebut  mempunyai 158,090 pengundi di dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Paya Jaras dan Kota Damansara.-MalaysiaGazette