Khairy Jamaluddin Abu Bakar

SUNGAI BULOH – Seramai dua petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ditempatkan di setiap pusat mengundi bagi mengurus pengundi yang positif Covid-19.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, langkah itu bagi memudah dan mempercepatkan proses pengundian kumpulan berkenaan.

“Setiap pusat mengundi sekurang-kurang ada dua orang, mungkin pusat mengundi yang kecil ada seorang petugas,“katanya kepada media selepas meninjau proses pengundian di SK Seksyen 7, Kota Damansara.

Beliau berkata, sebanyak 10 pengundi positif Covid-19 yang telah menunaikan tanggungjawab di Pusat Mengundi berkenaan.

“Semua berjalan lancar, (pengundi) yang positif mereka maklumkan kepada pegawai, tunjukkan status MySejahtera dan akan dibawa masuk untuk mengundi kemudian mereka boleh balik,” tambah beliau.

Sebelum ini Khairy memaklumkan, tidak ada laluan khas untuk pengundi yang positif Covid-19.

Bagaimanapun, individu yang dijangkiti Covid-19 akan diberikan laluan untuk mengundi terlebih dahulu supaya boleh meninggalkan pusat pengundian lebih cepat. -MalaysiaGazette