PUTRAJAYA – Proses pengundi di Parlimen Putrajaya berjalan lancar walaupun hujan sejak awal pagi tadi.
Menurut calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, pihaknya menyasarkan jumlah turun mengundi hari ini adalah sekitar 90 peratus.
“Putrajaya ini kita sasarkan sampai 90 peratus, saya harap dapat jumlah undi yang tinggi kali ini.
“(Hujan) renyai begini tidak apa. Jangan lebat,” katanya selepas selesai mengundi di Sekolah Kebangsaaan Putrajaya Presint 9 (1) di saluran 1.
Beliau hadir bersama isterinya, Datuk Seri Anggraini Sentiyaki jam 9.05 pagi.
Parlimen Putrajaya menyaksikan pertembungan enam penjuru antara Tengku Adnan dan Naib Presiden Bersatu Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Bersatu), Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz (PH-PKR), Timbalan Presiden Berjasa Datuk Mohd Rosli Ramli yang menggunakan logo Pejuang, serta dua calon bebas iaitu Lim Fice Bee dan Samsudin Mohamad Fauzi. – MalaysiaGazette