Pengundi, Nuraina Balqis Zulkapli dan Daniea Erika Zoorman berumur 19 tahun merupakan kali pertama mengundi bercakap kepada media pada Hari Pengundian sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di SK Seksyen 7 Kota Damansara, Petaling Jaya. Foto FAREEZ FADZIL, 19 November 2022.

SUNGAI BULOH – Menjadi pengundi pertama kali, Daniea Erika Zooman melihat pengalaman dan jasa kepada negara seseorang calon sebelum membuat pilihan.

Daniea Erika, 19 tahun berkata, kriteria seperti ini penting berbanding pilihan majoriti anak muda yang lebih memilih calon berdasarkan trend semasa.

Pengundi, Daniea Erika Zoorman berumur 19 tahun merupakan kali pertama mengundi pada Hari Pengundian sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di SK Seksyen 7 Kota Damansara, Petaling Jaya. Foto FAREEZ FADZIL, 19 November 2022.
Daniea Erika Zoorman,19 tahun

“Saya teruja sebab sudah jalankan tanggungjawab. Saya pilih calon mengikut pandangan keluarga dan apa tanggungjawab calon kepada negara sebab banyak orang muda sekarang pilih berdasarkan trend,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Daniea menjalankan tanggungjawab mengundi lertama kali di SK Seksyen 7,Kota Damansara.

Beliau menyifatkan proses pengundian hari ini lancar dan memudahkan pengundi pertama sepertinya.

“Saya dah sampai 8.30 pagi waktu masuk memang perjalanan teratur dan mudah untuk pertama kali mengundi macam saya, selesai pun awal,”tambahnya.

Beliau turut menasihatkan pengundi-pengundi pertama kali sepertinya agar membuat pilihan yang tepat pada hari ini.

Sementara itu, seorang lagi pengundi muda, Nuraina Balqis zulkapli, 19 mengakui menerima nasihat keluarga sebelum membuat pilihan kerana tidak mempunyai pengalaman sebelum ini.

Namun katanya, beliau akan menilai calon wakil rakyat berdasarkan kriteria yang memberi manfaat kepada penduduk setempat.

“Dalam memilih wakil rakyat di sini, pandangan keluarga khususnya kakak-kakak saya sikit sebanyak mempengaruh tapi pada akhirnya kita kena tahu apa kita nak berdasarkan pandangan kita sendiri,” katanya.- MalaysiaGazette