PUTRAJAYA – Rata-rata pengundi di Parlimen Putrajaya berpuas hati dengan perjalanan proses undian Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) yang berlangsung hari ini.
Tinjauan MalaysiaGazette di pusat pengundian Sekolah Kebangsaaan Presint 17 (1), Putrajaya mendapati perjalanan proses mengundi berjalan lancar.
Menurut Tarmizi Abdul Manap, 47, beliau hanya mengambil masa lima minit untuk beratur di saluran satu pusat pengundian.
“Tak sampai lima minit saya beratur. Waktu ini mungkin sudah ramai yang keluar mengundi pagi jadi tidak sesak sangat.
“Saluran satu tak ramai, ini kali keempat saya mengundi. Perbezaan kali ini lebih cepat dan lebih terurus,” katanya yang sudah empat kali mengundi di Putrajaya.
Menurut Jariah Mohamad, 68 beliau berpuas hati dengan proses pengundian hari ini.
“Tak sampai 10 minit saya tunggu untuk mengundi. Tidak ada halangan untuk saya keluar mengundi hari ini.
“Kurang sikit orang kalau saya datang tengahari. Petang nanti ramai pulak sebab cuaca mendung,” katanya.
Zeti Akhmar Zaharudin berkata, petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sangat membantu beliau untuk mengundi.
Katanya, ada juga pihak yang menyediakan air untuk pengundi yang keluar mengundi.
“Setakat datang tadi tidak tunggu lama dan petugas tunggu kita dan ikut saluran. Amat teratur dan petugas beri arahan yang bagus untuk kita keluar.
“Cuaca walaupun terik dari pagi tadi semua bagi. Air pun disediakan jadi bila pengundi keluar air diberikan jadi pengundi rasa seronok,” katanya.
Hanya saluran empat dan lima iaitu saluran pengundi muda sahaja yang berbaris panjang namun masih terkawal.
Bagi pengundi saluran empat, Mior Mohd Helmi, 36, beliau mengambil masa 45 minit untuk selesai mengundi.
Katanya, ramai pengundi di saluran 4 dan 5 membuatkan barisan untuk mengundi panjang.
“Lebih kurang 45 minit saya menunggu sampai dalam jam 12 tengah hari. Semua yang datang mengundi pun mengikut peraturan dan undi ikut saluran yang ditetapkan. Hari ini ada tenang dan tidak ada sebarang provokasi.
“Saya pilih tengah hari sebab nak selesaikan urusan anak dan tengahari ini waktu yang agak lengang. Pengundi di Putrajaya ini muda dan ada anak. Jadi senang nak turun undi,” katanya di pusat pengundian Sekolah Kebangsaaan Presint 17 (1), Putrajaya.
Seorang pengundi juga di saluran 4, Mohd Kamil Abu Bakar berkata beliau mengambil masa setengah jam untuk mengundi.
Jelasnya, wujud perbezaan antara PRU kali ini dengan PRU14 yang diadakan pada 2018.
“Bagi saya 2018 banyak pengundi muda berbanding sekarang tapi saya tengok meriah lebih sikit sebab saluran 3 sebab barisan sangat panjang.
“Saluran 4 dan 5 pun untuk pengundi muda sangat panjang. Memang saya rasa perbezaan antara 2018 dengan 2022 tidak jauh beza memang ramai turun,” katanya lagi.
Untuk rekod, sejumlah 42,881 pengundi layak mengundi di Parlimen Putrajaya, kali ini. – MalaysiaGazette