Pengundi, Mohamad Rosli Mohamad Dani hadir menaiki ambulans bagi menunaikan tanggunjawab sebagai pengundi pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Sekolah Kebangsaan Seksyen 17 Shah Alam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 19 NOVEMBER 2022.

SHAH ALAM – Demi menunaikan tanggungjawabnya sebagai rakyat Malaysia, seorang pesakit terlantar sanggup ke Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 17 di sini, untuk memilih wakil rakyat.

Mohd Rosli Mohd Dani, 57, yang terlantar sakit akibat pendarahan otak sejak Julai 2019 datang ke pusat mengundi itu ditemani isterinya, Rosnah Mahmud, 54, dengan ambulans.

Menurut Rosnah, walaupun dalam kepayahan, dia membawa suaminya, pesara guru untuk mengundi atas permintaan dan kerelaannya sendiri.

“Beliau mahu menjadikan contoh kepada anak muda dan golongan dewasa bahawa mengundi itu satu tanggungjawab yang penting dan tidak boleh dipandang ringan.

“Urusan ini kemudian dipermudahkan dengan persetujuan Yayasan Amal Kota Raja untuk menyediakan ambulans dan mereka datang ambil kami di rumah Taman Sri Muda untuk ke Pusat Mengundi SK Seksyen 17,” katanya ketika ditemui media, di sini, pagi ini.

Ambulans sampai di SK Seksyen 17 pada jam 10.50 pagi dan setengah jam kemudian Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membawa kertas undi dalam kenderaan itu untuk diundi oleh Mohd Rosli.

Kenderaan ambulans hadir membawa pesakit untuk menunaikan tanggunjawab sebagai pengundi pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Sekolah Kebangsaan Seksyen 17 Shah Alam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 19 NOVEMBER 2022.

Menurut ibu kepada tiga anak itu, suaminya seorang guru terpaksa berhenti disebabkan kesihatan, hidup terlantar sehingga kini.

Katanya, selepas menjalani pembedahan pada 22 Julai 2019, suaminya tidak sedarkan diri lebih seminggu dan selepas sedar, tubuh sebelah kiri tidak boleh bergerak.

“Sejak itu dia tidak boleh bercakap dan hanya minum susu melalui tiub yang dimasukkan ke hidung,” katanya.

Menurut suri rumah itu, sejak suaminya layak mengundi ketika umur 21 tahun, sehingga kini walaupun terlantar, tetap keluar mengundi. – MalaysiaGazette