KUALA LUMPUR – “Wow kertas undi panjang sangat sampai saya gementar dan berhenti sekejap di kotak mengundi,” seloroh calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Batu, P. Prabakaran.
Beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen itu hadir jam 8.41 pagi tadi di pusat pengundian di Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa di Jalan Ipoh di sini.
Walaupun bersaiz lebih panjang daripada biasa namun Prabakaran memuji kecekapan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana menyediakan kertas undi yang mudah, jelas serta tidak menyusahkan pengundi untuk memangkah.
Bercakap kepada MalaysiaGazette, Prabakaran berkata, semua proses mengundi pagi tadi berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
Katanya, ramai yang keluar awal untuk mengundi walaupun dalam keadaan hujan renyai.
“Proses pengundian ini kalau seorang memakan masa sekurang-kurangnya dua minit saya risau tak cukup masa. Saya rasa pengundi perlu terus memangkah tanpa perlu ambil masa lama untuk berfikir.
“Terdapat 113, 863 pengundi di Parlimen Batu dan saya menjangkakan 80 peratus akan keluar mengundi hari ini.
“Ia adalah satu perkembangan yang sihat dan berharap peratusan keluar mengundi konsisten sehingga tempoh tamat petang nanti,” katanya lagi sambil menambah, mereka menyediakan payung dan kerusi roda untuk golongan yang memerlukan.- MalaysiaGazette