Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai tiga pengundi yang mempunyai simptom Covid-19 mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Maluri, di sini, hari ini.

Menurut salah seorang pengundi itu, walaupun masih dalam tempoh kuarantin berbaki sehari, ia bukannya penghalang bagi beliau menunaikan tanggungjawab sebagai seorang warga Malaysia.

Katanya, beliau tidak menghadap masalah berikutan proses yang sistematik di pusat mengundi.

“Sebaik sahaja sampai di pusat mengundi, saya memberitahu keadaan diri kepada petugas SPR dan dia membawa saya kepada petugas khas untuk menguruskan proses mengundi.

“Pada ketika itu, saya diberi pelekat khas berwarna biru yang menandakan saya pesakit Covid, kemudian petugas itu turut bertanya saya mengundi di saluran berapa.

“Sebelum saya mengundi, petugas itu akan memastikan saya sentiasa memakai pelitup muka dan sanitasi, kemudian memberi keutamaan kepada saya untuk mengundi dulu daripada mereka yang lain,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, semua pengundi termasuk mereka yang disahkan Covid-19 perlu mematuhi langkah am ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan proses pengundian lancar dan selamat.

Petugas kesihatan juga ditempatkan di pusat mengundi bagi membantu melicinkan urusan pengundian bagi pengundi yang positif Covid-19, jelas Hoor Hisham. – MalaysiaGazette