GOMBAK — Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Azmin Ali yakin dapat mempertahan kerusi Parlimen Gombak.

Beliau yang juga penyandang kerusi itu berkata, sambutan yang diberikan rakyat sangat baik berikutan PN berjaya mentadbir negara walaupun dalam tempoh yang singkat.

“Sudah tentulah rakyat malaysia hari ini inginkan sebuah kerajaan yang stabil yang kuat bagi menjamin masa depan rakyat keseluruhannya. Jadi insyaAllah kita akan lakukan yang terbaik untuk Malaysia.

“Keputusan adalah keputusan rakyat.. Saya yakin berdasarkan usaha yang telah saya lakukan sedaya upaya saya di Gombak, insyaAllah rakyat akan terus bersama-sama untuk membangunkan Gombak,” katanya ketika ditemui selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan Klang Gate, di sini hari ini.

Terdahulu beliau yang mengenakan pakaian batik tiba bersama isterinya, Datin Seri Shamsida Taharin pada 8.30 pagi dan selesai 30 minit kemudian.

Azmin berentap dengan empat lagi calon lain dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) termasuk calon ternama iaitu Datuk Seri Megat Zulkarnain Omardin mewakili Barisan Nasional (BN); Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang mewakili Pakatan Harapan (PH).

Untuk rekod, keseluruhan jumlah pengundi di Parlimen Gombak P.098 adalah seramai 206,744.

Mengulas mengenai impak dakwaan kristianisasi Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tular di laman sosial, beliau yakin rakyat matang untuk mengetahui itu adalah sebuah manipulasi.

“Muhyiddin sudah pun membuat penjelasan yang mana kenyataan beliau itu telah diputarbelitkan dan disalah tafsir. Saya tidak percaya rakyat akan mudah terpengaruh dengan propaganda seperti ini.

“Ini kerana kepimpinan Muhyiddin terbukti sentiasa memberikan perhatian dan fokus untuk menjamin keharmonian masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum dan agama,” katanya kepada pemberita.

Malah kata Azmin, dasar-dasar yang diperkenalkan PN termasuk inisiatif yang dilaksanakan tidak pernah mengambil pendirian perkauman kerana ia sentiasa memberikan keutamaan kepada kepentingan rakyat Malaysia. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast