Mohamed Khaled Nordin mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rinting 1, Pasir Gudang., Johor.

PASIR GUDANG – Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mampu merekodkan jumlah peratusan keluar mengundi yang tinggi walaupun hujan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keyakinannya itu bersandarkan pengundi yang berterusan menunaikan tanggungjawab mereka tanpa menghiraukan keadaan cuaca pada pagi ini.

“Biarpun berdepan cuaca hujan tetapi ia tidak menghalang pengundi keluar dan saya percaya peratusan keluar mungkin tinggi jika ini trend yang kita dapat lihat,” katanya pemberita selepas selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rinting 1, di sini, hari ini.

Khaled yang merupakan calon Barisan Nasional Parlimen Kota Tinggi ditemani anaknya, Akmal Saufi tiba di SK Taman Rinting 1 pada pukul 8.10 pagi untuk mengundi.

Pada PRU14, Hassan Abdul Karim daripada PKR menang dengan majoriti 24,726 undi di Parlimen Pasir Gudang menewaskan Khaled (BN) yang ketika itu merupakan Menteri Besar Johor.

Parlimen Pasir Gudang mempunyai 198,557 pengundi berdaftar, iaitu Parlimen ketiga tertinggi di Johor dengan peratusan penduduk terdiri daripada Melayu dan Bumiputera sebanyak 48 peratus, Cina (36 peratus) dan India (10 peratus). -MalaysiaGazette